fb fb fb fb fb

Kes Trump rogol kolumnis terkenal bakal ke mahkamah

(Donald Trump / AFP)

NEW YORK, 25 April- Pemilihan juri perbicaraan sivil membabitkan Donald Trump yang didakwa merogol bekas kolumnis terkenal Amerika, E. Jean Carroll dijadualkan bermula pada Selasa.

E. Jean Carroll, 79, berkata Trump menyerangnya secara seksual di gedung membeli-belah New York pada 1990-an dan kemudian memfitnahnya selepas dia mendedahkan dakwaan itu kepada umum.

Trump, menafikan dakwaan itu dan berkata ia adalah rancangan licik untuk menggagalkan pencalonannya pada 2024 bagi penggal kedua di White House.

Carroll, bekas kolumnis majalah Elle, berkata dia telah dirogol oleh Trump di bilik persalinan di gedung mewah Bergdorf Goodman di Fifth Avenue di Manhattan pada pertengahan 1990-an.

Dia berkata serangan itu berlaku selepas Trump meminta nasihatnya untuk membeli-belah.

Carroll membuat pendedahan itu dalam petikan bukunya yang diterbitkan oleh Majalah New York pada 2019.

Trump menjawab kemudian dengan mengatakan dia tidak pernah bertemu Carroll, dan wanita itu berbohong.

Carroll mengeluarkan saman terhadap Trump kerana memfitnah pada 2019 tetapi tidak dapat memasukkan tuntutan rogol kerana statut pengehadan bagi kesalahan yang didakwa telah tamat tempoh.

Namun, undang-undang baharu berkuat kuasa pada November tahun lalu di New York, yang memberi ganti rugi kepada mangsa serangan seksual beberapa dekad selepas serangan mungkin berlaku, membuka peluang tuntutan baharu.

Ia memberi tempoh setahun kepada mangsa serangan seksual di negeriĀ itu untuk menyaman pendera mereka walaupun, kes telah lama berlaku.

Peguam untuk Carroll memfailkan saman baharu yang menuduh Trump 'secara paksa merogol dan meraba-raba' wanita itu.

Saman itu menuntut ganti rugi pampasan dan punitif yang tidak ditentukan untuk kecederaan psikologi, kesakitan dan penderitaan, kehilangan maruah, dan kerosakan pada reputasinya.

Trump mungkin tidak memberi keterangan kerana peguam Carroll berkata mereka tidak berhasrat untuk memanggilnya ke kandang saksi.

Perbicaraan mungkin berlangsung antara satu hingga dua minggu lagi.- AFP


(E. Jean Carroll)

Media Baharu