fb fb fb fb fb

Kes MH17 diputusan November ini

(Sebahagian daripada serpihan pesawat Malaysia Airlines MH17, yang
ditembak jatuh di atas Ukraine pada 2014/AFP)

THE HAGUE, 15 Ogos - Mahkamah Belanda akan menyampaikan keputusan perbicaraan kes pesawat Malaysia Airlines MH17 yang ditembak jatuh di ruang udara Ukraine pada 17 November ini.

Perbicaraan bermula pada Mac 2020 di mahkamah keselamatan tinggi berhampiran Lapangan Terbang Schiphol Amsterdam, lokasi pesawat Boeing 777 terbabit berlepas.

“17 November 2022 telah dipilih sebagai tarikh penetapan keputusan perbicaraan kes jenayah MH17. Keputusan dijangka disampaikan pada sebelah petang," kata mahkamah dalam satu kenyataan.

Perbicaraan itu diadakan di Belanda, berikutan siasatan antarabangsa yang meluas, kerana kebanyakan mangsa adalah warga Belanda.

Tiga warga Rusia dan seorang warga Ukraine, yang semuanya masih bebas, dituduh membekalkan peluru berpandu yang memintas pesawat itu ketika dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur pada 17 Julai 2014.

Pendakwa raya Belanda berkata pesawat itu ditembak jatuh oleh peluru berpandu BUK buatan Rusia, yang ditembak dari wilayah di timur Ukraine yang diduduki pemisah pro-Moscow.

Mahkamah digesa menjatuhi hukuman penjara seumur hidup terhadap keempat-empat tertuduh iaitu Igor Girkin (warga Rusia), Sergei Dubinsky dan Oleg Pulatov dan Leonid Kharchenko dari Ukraine.

Pulatov adalah satu-satunya tertuduh yang mempunyai representasi undang-undang. Keempat-empat defendan menegaskan mereka tidak bersalah dan enggan hadir di mahkamah.

(Kes MH17 diputusan November ini/REUTERS)

Girkin yang dikenali dengan nama samaran "Strelkov", merupakan suspek paling berprofil tinggi.

Dia merupakan bekas perisik Rusia yang didakwa membantu memulakan konflik di Ukraine pada 2014, dan lantang bersuara tentang pencerobohan Rusia di Ukraine ketika ini.

Penyiasat antarabangsa berkata peluru berpandu BUK pada asalnya dibawa dari pangkalan tentera Rusia, kononnya untuk digunakan dalam memerangi tentera Ukraine.

Peguam Pulatov sebaliknya berkata pihak pendakwa gagal membuktikan bahawa BUK yang dibekalkan Rusia digunakan untuk menembak jatuh pesawat berkenaan.

Tragedi itu mengorbankan kesemua 298 penumpang, kru kabin dan juruterbang pesawat berkenaan. -AFP

Media Baharu