fb fb fb fb fb

Suu Kyi dijatuhi hukuman enam tahun penjara kerana rasuah

(Aung San Suu Kyi /File AFP)

YANGON, 15 Ogos - Mahkamah junta Myanmar memenjarakan bekas Kaunselor Negara, Aung San Suu Kyi selama enam tahun kerana rasuah, kata sumber yang rapat dengan kes itu, menjadikan tempoh penjara pemimpin yang digulingkan itu meningkat kepada 17 tahun.

Suu Kyi, 77 tahun, telah ditahan sejak pihak tentera menggulingkan kerajaan awam pimpinannya dalam rampasan kuasa pada 1 Februari tahun lalu.

Sejak itu beliau dihadapkan dengan beberapa pertuduhan, termasuk melanggar Akta Rahsia Rasmi, rasuah dan penipuan pilihan raya. Beliau berdepan hukuman penjara selama berpuluh-puluh tahun jika sabit kesalahan atas semua pertuduhan.

Suu Kyi dijatuhi hukuman "penjara enam tahun bawah empat pertuduhan antirasuah", kata sumber itu yang enggan dikenali kerana tidak diberi kuasa untuk bercakap dengan media.

Tertuduh kelihatan dalam keadaan sihat dan tidak membuat sebarang kenyataan berikutan hukuman terbaharunya, tambah sumber itu.

Jurucakap junta tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan komen.

Penerima Anugerah Nobel itu telah pun dijatuhi hukuman penjara 11 tahun kerana rasuah, menghasut rakyat menentang tentera, melanggar peraturan COVID-19 dan melanggar undang-undang telekomunikasi.

Wartawan dihalang daripada menghadiri perbicaraan mahkamah manakala peguam Suu Kyi dilarang bercakap kepada media. -AFP

(Mahkamah junta Myanmar memenjarakan pemimpin awam yang digulingkan Aung San
Suu Kyi (kiri) selama enam tahun kerana rasuah/File AFP)

Media Baharu