fb fb fb fb fb

Kes COVID-19 melonjak di Australia akibat subvarian Omicron

SYDNEY, 16 Mac- Kes jangkitan harian COVID-19 di beberapa negeri di Australia menyaksikan peningkatan mendadak susulan subvarian BA.2 Omicron, lapor Xinhua.

New South Wales (NSW) merekodkan 30,402 kes baharu hari ini berbanding 10,689 kes semalam.

Negeri itu juga mencatat lima kematian sementara 1,016 pesakit menerima rawatan di hospital dengan 36 orang ditempatkan di unit rawatan rapi.

Menurut Kementerian Kesihatan, peningkatan jumlah kes baharu itu disebabkan isu pemprosesan data.

(Foto fail)

Selain itu, kementerian turut memberi amaran agar bersiap sedia menghadapi gelombang baharu COVID-19 dengan kemungkinan peningkatan kes dua kali ganda pada pertengahan April.

Victoria turut mencatatkan angka tertinggi selama lima minggu berturut-turut dengan 9,426 kes direkodkan hari ini meningkat daripada 7,460 semalam.

Pengerusi Biostatistik dan Epidemiologi di Universiti Australia Selatan, Adrian Esterman berkata, kajian awal menunjukkan subvarian Omicron BA.2 mempunyai kadar kebolehjangkitan 40% berbanding varian sebelum ini.

Persatuan Perubatan Australia (AMA) menggesa kerajaan negeri dan persekutuan untuk meningkatkan sistem kesihatan bagi menghadapi gelombang COVID-19 seterusnya.

Media Baharu