fb fb fb fb fb

Kes bunuh kereta api bawah tanah : New York tuntut hukuman penjara seumur hidup tanpa parol

FOTO REUTERS

NEW YORK, 28 Disember- Pendakwa raya di New York sedang menuntut hukuman maksimum penjara seumur hidup tanpa parol untuk Sebastian Zapeta, yang dituduh membunuh seorang wanita dengan membakarnya di dalam kereta api bawah tanah awal minggu ini.

Peguam Daerah Brooklyn, Eric Gonzalez, mengumumkan pendakwaan tersebut pada Jumaat di luar mahkamah Brooklyn.

Menurut laporan polis, Zapeta, 33 tahun, didakwa menggunakan pemetik api untuk menyalakan pakaian seorang wanita yang kelihatan sedang tidur di dalam kereta api F yang tidak bergerak di stesen Coney Island-Stillwell Avenue pada hari Ahad.

Dia kemudian menggunakan sehelai baju untuk menyemarakkan api sehingga wanita tersebut terbakar sepenuhnya, sekali gus menyebabkan kematiannya.

Wanita tersebut disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. Pihak berkuasa masih berusaha untuk mengenal pasti mangsa, tambah Gonzalez.

Zapeta, yang dilaporkan tinggal di sebuah tempat perlindungan gelandangan di Brooklyn, telah didakwa dalam penampilan mahkamah awalnya pada Selasa dengan tuduhan pembunuhan dan pembakaran.

Satu aduan jenayah yang difailkan di mahkamah Brooklyn menyenaraikan tiga pertuduhan iaitu pembunuhan peringkat pertama, pembunuhan peringkat kedua dan pembakaran peringkat pertama.

“Ini adalah perbuatan kejam terhadap seorang wanita yang sedang tidur dan tidak berdaya dalam sistem kereta api bawah tanah kami,” kata Gonzalez. “Perbuatan ini mengejutkan ramai rakyat New York yang sedang bersiap untuk meraikan musim perayaan.”

Kejadian tersebut telah menggemparkan penduduk di seluruh bandar New York, mencetuskan suasana muram menjelang musim perayaan.-REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE