fb fb fb fb fb

Mangsa tragedi jambatan runtuh di Brazil meningkat kepada 10 orang

Jumlah mangsa yang terlibat dalam tragedi runtuhan Jambatan Juscelino Kubitschek de Oliveira di utara Brazil meningkat kepada 10 orang / Foto AFP

BRASÍLIA, 28 Disember – Jumlah mangsa yang terlibat dalam tragedi runtuhan Jambatan Juscelino Kubitschek de Oliveira di utara Brazil meningkat kepada 10 orang, menurut pihak berkuasa pada Jumaat.

Jambatan yang menghubungkan negeri Maranhao dan Tocantins itu runtuh pada Ahad, menyebabkan kenderaan dan penumpangnya terjunam ke dalam Sungai Tocantins.

Tentera Laut Brazil menemui satu lagi mayat pada Khamis, kira-kira 6km dari lokasi kejadian, dan mangsa kedua pada Jumaat.

“Sehingga kini, terdapat 10 mangsa yang terkorban dan tujuh lagi dilaporkan hilang,” kata kenyataan Tentera Laut, mengemas kini angka lapan mangsa terkorban dan sembilan hilang pada Khamis.

Lebih 70 penyelamat terlibat dalam operasi mencari yang telah memasuki hampir seminggu.

Penyelam menggunakan ruang hiperbarik untuk meneruskan pencarian di kedalaman melebihi 30 meter.

Bagaimanapun, usaha menyelamat terjejas apabila pihak berkuasa memberi amaran pada Selasa bahawa air Sungai Tocantins mungkin tercemar akibat asid sulfurik yang dibawa oleh dua lori yang terjatuh ke dalam sungai.

Sebuah lagi lori yang turut terlibat dalam kejadian itu membawa racun perosak.

Menurut jurucakap jabatan bomba, tangki ketiga-tiga lori yang terlibat dalam tragedi itu didapati masih “utuh” selepas runtuhan, namun pemeriksaan lanjut menyebabkan operasi terhenti beberapa hari untuk memastikan keselamatan pasukan penyelamat.

Jambatan sepanjang kira-kira 500 meter itu dibina pada tahun 1960-an.

Siasatan awal menunjukkan kegagalan rasuk utama jambatan sebagai punca utama runtuhan, namun siasatan penuh masih dijalankan.

Pihak berkuasa berusaha mengenal pasti mangsa yang hilang sambil meneruskan analisis struktur jambatan dan kesan pencemaran bahan kimia di kawasan tersebut.-AFP

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN