MAPUTO, 28 Disember- Lebih 2,000 keluarga dari Mozambique mencari perlindungan di Malawi minggu ini, kata pihak berkuasa negara itu, ketika puluhan orang dilaporkan terbunuh dalam rusuhan yang merebak akibat pilihan raya yang dipertikaikan pada Oktober.
Beberapa perniagaan, termasuk bank, ditutup di ibu negara pada Jumaat, dengan kawalan keselamatan ditingkatkan selepas rusuhan dan pelarian banduan dari penjara pada Rabu.
Mozambique dilanda protes ganas selama dua bulan sejak Suruhanjaya Pilihan Raya negara itu mengumumkan parti pemerintah, Frelimo, mengekalkan kuasa dan calonnya memenangi jawatan presiden. Frelimo menafikan tuduhan penipuan oleh pembangkang.
Keputusan Majlis Perlembagaan Mozambique yang mengesahkan keputusan pilihan raya pada Isnin mencetuskan lebih banyak tunjuk perasaan.
Kumpulan pemantau Plataforma Decide melaporkan 125 kematian sejak keputusan mahkamah diumumkan.Manakala 252 kematian pada Oktober.
Seorang pegawai kanan Malawi berkata 2,182 keluarga dari Mozambique telah melarikan diri ke daerah Nsanje di Malawi, yang bersempadan dengan Mozambique, sejak Rabu.
"Keadaan ini kritikal kerana mereka memerlukan bantuan kemanusiaan dengan segera," kata pesuruhjaya daerah Nsanje, Dominic Mwandira.
Pemimpin pembangkang utama Mozambique, Venancio Mondlane, yang mendakwa keputusan pilihan raya tidak sah, menyeru penyokongnya untuk terus berdemonstrasi secara aman tanpa merosakkan harta benda.
Rusuhan itu turut menjejaskan syarikat asing, termasuk syarikat perlombongan Gemfields Group dan South32, serta syarikat petrokimia Sasol.
Operasi lombong ruby terbesar Gemfields di Mozambique dihentikan sementara pada Selasa selepas insiden ganas berhampiran lombong itu, di mana dua orang ditembak mati oleh pasukan keselamatan.
Rusuhan di penjara Maputo pada Hari Krismas menyebabkan sekurang-kurangnya 33 orang maut dan lebih 1,500 banduan melarikan diri sebelum ada yang ditangkap semula.
Frelimo telah memerintah Mozambique sejak merdeka daripada penjajahan Portugal pada 1975.
Pemerhati Barat mendakwa pilihan raya tahun ini tidak bebas dan adil.-REUTERS.