fb fb fb fb fb

Kereta api kargo bergerak sejauh 70 kilometer tanpa pemandu

Foto Reuters

NEW DELHI, 26 Februari - Indian Railways telah mengarahkan satu siasatan dilakukan selepas sebuah kereta api kargo yang sarat dengan muatan batu kelikir bergerak sejauh 70 kilometer tanpa pemandu.

Kira-kira 50 gerabak bergerak dari Jammu dan Kashmir di utara ke Punjab sebelum dihentikan oleh bongkah kayu yang diletakkan di landasan, pada Ahad.

“Kami telah mengarahkan siasatan,” kata jurucakap Kereta Api Utara, Deepak Kumar kepada AFP, sambil menambah bahawa tiada yang cedera dalam insiden tersebut.

Kereta api yang bergerak dengan kelajuan 100 kilometer sejam itu telah dirakam dan tular di media sosial.

Insiden itu berlaku selepas kereta api berhenti di sebuah stesen kereta api di Jammu untuk pertukaran kru, namun ia bergerak selepas pemandu dan pembantunya turun, lapor media tempatan

Semua lintasan jalan di laluan itu ditutup bagi mengelakkan kemalangan.

Insiden itu merupakan yang terbaharu melanda rangkaian kereta api di India yang membawa berjuta-juta penumpang setiap hari.

Walau bagaimanapun, India telah melabur sejumlah wang yang besar untuk menaik taraf rangkaian dengan stesen moden dan sistem isyarat elektronik.-AFP

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN