fb fb fb fb fb

Kerajaan Perancis bersedia guna "senjata" lulus Bajet 2023 tanpa undian

(Elisabeth Borne/AFP)

PARIS, 18 Oktober- Kerajaan Perancis bersedia untuk menggunakan "senjata perlembagaan" yang jarang digunakan untuk memaksa belanjawannya diluluskan parlimen, setelah pembangkang menentang rang undang-undang perbekalan yang dibentang dan mahukan pindaan.

Kebuntuan itu menggariskan kedudukan lemah Presiden Emmanuel Macron sejak parti berpusatnya kehilangan majoriti dalam pilihan raya parlimen musim bunga lalu, hanya beberapa minggu selepas beliau dipilih semula ke jawatan presiden.

Jurucakap kerajaan, Olivier Veran berkata Perdana Menteri, Elisabeth Borne "mungkin" menggunakan Artikel 49.3 Perlembagaan, yang akan menamatkan perbahasan dan meluluskan Bajet 2023 tanpa undian.

"Buat masa ini, kita akan melihat bagaimana perdebatan itu berlangsung selepas beberapa sesi tegang sejak minggu lalu," kata Veran kepada televisyen France 2.

Jika Artikel 49.3 digunakan, penentang yang berhaluan kiri dan sayap kanan dijangka menggesa undi tidak percaya untuk memaksa kerajaan meletak jawatan.

Undi itu bagaimanapun tidak mungkin diluluskan kerana Republikan konservatif telah menyatakan mereka tidak akan menyertai usaha menjatuhkan pentadbiran Macron. -AFP

(Elisabeth Borne bercakap semasa sesi Soalan kepada kerajaan di Perhimpunan Kebangsaan
/AFP)

Media Baharu