KUALA LUMPUR, 3 MEI 2025- Keputusan Pilihan Raya Umum Singapura 2025 (PRU2025) dilihat tidak mempengaruhi hubungan diplomatik antara Malaysia dan Singapura .
Penganalisis Keselamatan dan Geopolitik Universiti Utara Malaysia , Profesor Madya Dr Mohamad Faisol Keling berpendapat hubungan baik sedia ada akan terus terjalin dan kekal berkerjasama antara satu sama lain.
" Dalam konteks Malaysia, saya fikir keputusan PRU2025 Singapura tidak dilihat sebagai ancaman. Ini kerana hubungan tu telah lama terjalin, malah sistem pentadbiran kedua dua adalah hampir sama. Justeru dalam masa yang sama hubungan yang akrab hanya di peringkat hubungan antara masyarakat kedua-dua negara, hubungan budaya sebagai contoh. Hubungan antara kementerian secara rasmi atau tidak secara rasmi sehingga kini tidak membabitkan masalah. Malah Malaysia juga adalah sebuah negara yang menjadi negara sumber yang menyalurkan bantuan dan juga tenaga kepada Singapura, " katanya ketika dihubungi RTM.
Pakar Geostrategis Profesor Dr Azmi Hassan turut mempunyai pandangan sama.
Malah beliau melihat kedua-dua negara akan lebih membawa manfaat besar dibawah pimpinan baharu Perdana Menteri Singapura.
"Hakikatnya bermula besok parti PAP akan terus memerintah Singapura , dan segala hubungan ekonomi bilateral antara Malaysia dan Singapura atau Johor dengan Singapura itu akan tetap diteruskan. Itu adalah hakikatnya."
Setakat 5 petang tadi, lebih 2.16 juta rakyat Singapura, atau 82 peratus daripada 2,627,026 pengundi layak di semua bahagian pilihan raya yang dipertandingkan, telah menunaikan tanggungjawab mereka .
Ini pilihan raya umum pertama Perdana Menteri Lawrence Wong sejak memegang jawatan Mei tahun lalu.