ISLAMABAD, 3 Mei- Tentera Pakistan menjalani latihan pelancaran senjata peluru berpandu Abdali hari ini sebagai persediaan operasi ketenteraannya.
Latihan tersebut turut menguji keupayaan sistem navigasi canggih milik mereka serta peluru berpandu dengan ciri kebolehgerakan yang dipertingkatkan.
"Pakistan hari ini menjalankan pelancaran latihan Sistem Senjata Abdali yang berjaya. Melibatkan peluru berpandu permukaan ke permukaan dengan jarak 450 kilometer" kata pihak tentera dalam satu kenyataan.
Semalam, Panglima Tentera Darat Pakistan Jeneral Syed Asim Munir mempengerusikan mesyuarat komander tertingginya mengenai konflik semasa Pakistan-India.
Munir menegaskan kepentingan kritikal untuk meningkatkan kewaspadaan dan kesediaan proaktif bagi menghadapi apa jua kemungkinan.
Ini berikutan, selepas serangan di tapak pelancongan Pahalgam yang mengorbankan 26 nyawa, Perdana Menteri India Narendra Modi telah memberikan kebebasan kepada pihak tentera menjalankan operasi tindak balas.
Sejak insiden itu berlaku, tentera kedua-dua negara telah berbalas tembakan selama sembilan malam berturut-turut di sepanjang Talian Kawalan ketenteraan, kawasan sempadan.-afp