fb fb fb fb fb

Keputusan bersalah atau tidak terhadap Suu Kyi dikeluarkan hari ini

FOTO AFP

YANGON, 10 Januari- Mahkamah Junta Myanmar hari ini dijangka mengeluarkan keputusan kes tertangguh terhadap pemimpin digulingkan Aung San Suu Kyi, kemajuan terbaru dalam penghakiman yang boleh menyebabkan hukuman penjara ditambah terhadap Suu Kyi.

Penerima anugerah Nobel itu ditahan sejak 1 Februari tahun lalu apabila kerajaan bawah pentadbirannya digulingkan dalam satu rampasan kuasa, mengakhiri usaha pentadbiran demokrasi negara itu.

Konflik politik telah mencetuskan perbezaan pendapat yang meluas dalam kalangan rakyat memaksa pihak keselamatan bertindak tegas seterusnya mencetuskan bantahan di seluruh negara.

Menurut kumpulan pemantau tempatan, bantahan berdarah itu menyebabkan lebih 1,400 orang awam terbunuh.  

Suu Kyi, 76 telah didakwa atas beberapa kesalahan. Hari ini mahkamah dijadual membuat keputusan berhubung dakwaan mengimport dan memiliki "walkies-talkie" secara haram selain pertuduhan melanggar arahan sekatan pandemik COVID-19.

Alat komunikasi itu dirampas ketika serbuan di kediamannya pada hari rampasan kuasa menyebabkan Suu Kyi didakwa memiliki perlatan seludup.

Namun semasa pemeriksaan balas perbicaraan mahkamah, anggota parti yang menyerbu rumah Suu Kyi mengakui mereka tidak mempunyai waran untuk serbuan itu.

Keputusan kes itu telah berulang kali ditangguhkan dan sekiranya didapati bersalah, Suu Kyi berdepan hukuman penjara maksimum enam tahun.

Pada Disember, Suu Kyi dikenakan hukuman penjara selama empat tahun kerana menghasut dan melanggar peraturan COVID-19 semasa berkempen.

Bagaimanapun Ketua Junta memendekkan hukuman tersebut kepada dua tahun dan membenarkan Suu Kyi menjalani hukuman tahanan rumah di Naypyidaw. -AFP

Media Baharu