fb fb fb fb fb

Kementerian Haji Arab Saudi lancar dompet digital pertama dunia untuk jemaah

Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi (MoHU), dengan kerjasama Bank Negara Arab Saudi (SNB AlAhli), melancarkan Nusuk Wallet, dompet digital antarabangsa pertama seumpamanya di dunia untuk memberi perkhidmatan kepada jemaah umrah dan haji / Foto SPA

JEDDAH, 5 Jun - Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi (MoHU), dengan kerjasama Bank Negara Arab Saudi (SNB AlAhli), pada Selasa melancarkan Nusuk Wallet, dompet digital antarabangsa pertama seumpamanya di dunia untuk memberi perkhidmatan kepada jemaah umrah dan haji.

Memetik sumber Agensi Berita Saudi (SPA), dompet digital itu membolehkan jemaah menguruskan wang dan perbelanjaan mereka, disokong oleh infrastruktur perbankan dari SNB AlAhli melalui jenama NEO.

Nusuk Wallet menggunakan teknologi terkini dan teknik penyulitan untuk memastikan standard keselamatan tertinggi bagi transaksi kewangan pengguna.

Pengarah Pengalaman Digital MoHU, Ahmed bin Sulaiman Al-Maiman berkata: "Dengan pelancaran dompet digital ini, kami telah mencapai enam kejayaan di peringkat tempatan dan antarabangsa.

"Ini adalah dompet digital dan kad bank antarabangsa pertama di dunia, yang membolehkan jemaah haji dan umrah menguruskan wang mereka semasa berada di sini untuk menunaikan ibadah itu. Berikutan langkah ini, kami semakin hampir untuk mencapai matlamat kami untuk membangunkan aplikasi super yang berjaya memenuhi keperluan jemaah haji.

"Inovasi ini menandakan lonjakan kualitatif dalam perkhidmatan teknikal, kerana dompet ini menggabungkan teknologi moden dengan keperluan pengguna. Ia mengintegrasikan teknologi terkini seperti AI, penyulitan dan pengesahan identiti biometrik, selain teknologi canggih seperti API dan SDK bersepadu.

"juga merupakan dompet digital gelung terbuka pertama yang tertanam dalam aplikasi di dunia, yang direka untuk membolehkan jemaah haji dan umrah menguruskan wang mereka," katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Usaha Digital dan Pembayaran SNB AlAhli, Dr Saleh bin Ibrahim Al-Furaih pula mengesahkan bahawa Nusuk Wallet mematuhi arahan Bank Pusat Saudi (SAMA), menjamin standard keselamatan kewangan dan pematuhan peraturan tertinggi.

MoHU mengesahkan kesediaan penuh mereka dengan kerjasama semua pihak berkaitan, untuk mengusahakan inisiatif yang bertujuan memperkayakan pengalaman semua jemaah dan tetamu.

Menteri Haji dan Umrah, Dr Tawfiq Al-Rabiah merasmikan pelancaran dompet digital itu.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN