fb fb fb fb fb

Kemboja rampas 7.39 tan dadah sepanjang Januari-Oktober 2024

Bungkusan dadah yang dirampas dimusnahkan oleh polis Myanmar/Foto fail AFP

PHNOM PENH, 2 November - Kemboja mencatatkan peningkatan ketara dalam jumlah tangkapan individu dan rampasan dadah sepanjang 10 bulan pertama tahun 2024, lapor Xinhua memetik laporan Jabatan Anti-Dadah hari ini.

Pihak berkuasa menahan 21,659 suspek berkaitan dadah dalam tempoh Januari hingga Oktober tahun ini, meningkat 29.9 peratus berbanding 16,668 orang dalam tempoh yang sama pada 2023, menurut laporan itu, manakala 742 suspek adalah warga asing dari 17 negara.

Sebanyak 7.39 tan dadah dirampas sepanjang 10 bulan pertama 2024, mewakili peningkatan 171 peratus berbanding hanya 2.72 tan dalam tempoh yang sama pada 2023, menurut laporan berkenaan.

Kebanyakan dadah yang dirampas terdiri daripada ketamin, kristal methamphetamine, tablet methamphetamine, heroin, ekstasi dan kokain.

Kemboja meningkatkan usaha membanteras dadah sejak Ogos 2023 apabila Perdana Menteri Hun Manet memegang jawatan.

Beliau mengarahkan pihak berkuasa wilayah dan tempatan untuk membanteras pengedaran dan penyalahgunaan dadah di kelab malam serta tempat hiburan lain di seluruh negara Asia Tenggara itu.

Kerajaan Kemboja tidak mengenakan hukuman mati bagi pengedar dadah. Di bawah undang-undangnya, individu yang didapati bersalah mengedar lebih 80 gram dadah haram boleh dikenakan hukuman penjara seumur hidup. - BERNAMA-XINHUA

GRACE AISYAH KEDAYAN