fb fb fb fb fb

Lahore diselubungi asap tebal, catat rekod pencemaran udara tertinggi

FOTO AFP

LAHORE, 2 November- Pencemaran udara di bandar kedua terbesar Pakistan, Lahore, mencanak ke paras lebih 80 kali ganda daripada tahap yang dianggap selamat oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Sabtu, dengan seorang pegawai menyifatkannya sebagai rekod tertinggi.

Paras pencemaran PM2.5 yang berbahaya, zarah halus dalam udara yang paling merosakkan kesihatan mencatat puncak pada 1,067 sebelum turun ke sekitar 300 pada waktu pagi, walaupun tahap melebihi 10 sudah dikira tidak sihat menurut piawaian WHO.

"Kami tidak pernah mencapai tahap setinggi 1,000," kata Jahangir Anwar, seorang pegawai kanan perlindungan alam sekitar di Lahore kepada AFP.

Lahore diselubungi asap tebal selama beberapa hari, campuran antara kabut dan pencemaran yang berpunca daripada pelepasan diesel berkualiti rendah, pembakaran pertanian bermusim, serta suhu sejuk musim sejuk yang memburukkan lagi keadaan.

"Indeks kualiti udara dijangka kekal tinggi selama tiga hingga empat hari lagi," kata Anwar.

Pada Rabu, agensi perlindungan alam sekitar peringkat wilayah mengumumkan sekatan baharu di empat "kawasan panas" dalam bandar itu.

Kenderaan tuk-tuk yang menggunakan enjin dua-lejang berasap dilarang, begitu juga restoran yang menggunakan peralatan pemanggang tanpa penapis. Pejabat kerajaan dan syarikat swasta turut membenarkan separuh kakitangan mereka bekerja dari rumah mulai Isnin.

Sementara itu, kerja-kerja pembinaan dihentikan dan penjaja jalanan serta penjual makanan yang memasak dengan api terbuka dikehendaki menutup perniagaan pada pukul 8 malam.

Asap tebal lebih ketara pada musim sejuk apabila udara sejuk dan padat menjerat pencemaran daripada bahan bakar berkualiti rendah yang digunakan untuk menggerakkan kenderaan dan kilang pada paras tanah.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE