fb fb fb fb fb

'Kematian Yahya Sinwar tidak melemahkan kami' - Pejuang Hamas

Papan iklan memaparkan pemimpin Hamas Yahya Sinwar dengan slogan yang berbunyi 'Yahya Sinwar mungkin terbunuh dalam medan perang, Palestin akan melahirkan seribu Sinwar' ketika protes terhadap serangan Israel di Houthi Yaman, Sanaa/Foto AFP

DOHA, 19 Oktober - Kumpulan pejuang Hamas, mengesahkan kematian pemimpinnya Yahya Sinwar dalam serangan udara tentera Israel semalam.

Khalil al-Hayya berkata walaupun pemimpin mereka telah dibunuh, Hamas tidak akan menjadi lemah atau terkesan.

Sebaliknya mereka menyifatkan kematian Sinwar sebagai dorongan untuk meningkatkan semangat dan kekuatan perjuangan mereka.

"Yahya Sinwar dan semua pemimpin yang telah syahid dalam perjuangan akan menguatkan lagi pergerakkan kami untuk menentang Israel," katanya.

Yahya Sinwar pejuang Palestin dan pemimpin kanan Hamas. Beliau memainkan peranan penting dalam sayap politik dan ketenteraan Hamas, Izz ad-Din al-Qassam.

Sinwar juga merupakan salah seorang pengasas sayap ketenteraan Hamas dan pernah dipenjarakan oleh Israel selama lebih dua dekad sebelum dibebaskan dalam pertukaran tahanan pada tahun 2011.

Selepas dibebaskan, beliau naik pangkat dalam hierarki Hamas dan akhirnya dilantik sebagai ketua Hamas di Gaza pada tahun 2017.

Sinwar dikenali sebagai seorang yang tegas memperjuangkan hak Palestin dan tokoh yang berpendirian lantang terhadap Israel - AFP

 

GRACE AISYAH KEDAYAN