fb fb fb fb fb

Kematian tiga beradik perempuan berpunca daripada 'dowri'

(Foto AFP)

JAIPUR, 8 Jun- Tiga beradik perempuan dan dua anak mereka yang mayatnya ditemukan dalam sebuah perigi di sebuah kampung utara India minggu lalu didakwa merupakan mangsa pertikaian amalan dowri atau hantaran kahwin.

Kalu Meena, 25 tahun dan dua anaknya serta dua adiknya dikenali sebagai Mamta, 23 dan Kamlesh, 20 yang masing-masing sedang hamil maut selepas dipercayai membunuh diri.

Menurut sepupu mangsa, Hemraj Meena, ketiga-tiga mereka berkahwin dengan tiga beradik lelaki daripada keluarga sama yang berasal daripada Kampung Chapiya, Dudu Jaipur.

"Ahli keluarga perempuan mendakwa mereka selalu diganggu dan dipukul keluarga mentua disebabkan dowri tersebut," lapor AFP.

Susulan itu, polis menahan ketiga-tiga suami mangsa selain ibu mereka dan seorang kakak ipar atas tuduhan penderaan dan pengkhianatan dowri.

"Biro Rekod Jenayah Kebangsaan India merekodkan hampir 7,000 kes pembunuhan berkaitan dowri pada 2020 atau kira-kira 19 wanita setiap hari," tambah AFP.

Menurut aktivis, antara 30 hingga 40 wanita menjadi mangsa keganasan domestik dalam sejam di India dan angka itu dipercayai lebih tinggi kerana kebanyakan kes tidak direkodkan.

India mengharamkan amalan membayar dowri lebih 60 tahun lalu namun adat itu kekal sehingga kini terutamanya di kawasan luar bandar.- AFP


(FOTO AFP)

Media Baharu