fb fb fb fb fb

Kemas kini insiden helikopter tentera Jepun: Seorang kru disahkan maut

Menteri Pertahanan Minoru Kihara bercakap pada sidang media mengenai insden helikopter tentera Jepun / REUTERS

TOKYO, 21 April- Seorang maut dan tujuh orang hilang dalam kemalangan yang membabitkan dua buah helikopter tentera Jepun.

Jurucakap Pasukan Pertahanan Diri Jepun (SDF) mengesahkan kejadian itu kepada AFP dan berkata bahawa seorang telah diselamatkan tetapi kemudian disahkan meninggal dunia.

Menteri Pertahanan Minoru Kihara berkata penyelamat ternampak serpihan pesawat terapung di laut dan percaya kedua-dua helikopter itu terhempas.

"Pada ketika ini puncanya tidak diketahui, tetapi pertama sekali kami melakukan yang terbaik untuk menyelamatkan nyawa," kata Kihara kepada pemberita.

Beliau berkata helikopter itu melakukan latihan pada waktu malam.

Beberapa jam kemudian, Kihara memberitahu pemberita bahawa anak kapal yang diselamatkan "disahkan meninggal dunia," menurut jurucakap itu.

Kotak hitam helikopter tersebut akan didapatkan bagi menganalisis (punca kejadian) termasuk kemungkinan perlanggaran antara kedua-duanya.

Helikopter itu kelihatan terhempas semasa latihan waktu malam di luar Kepulauan Izu di Lautan Pasifik, lapor penyiar NHK.

Komunikasi dengan salah satu helikopter hilang pada 10:38 malam di luar pulau Torishima, dan seminit kemudian isyarat kecemasan diterima daripada pesawat berkenaan.

Sekitar 25 minit kemudian, kira-kira pukul 11:04 malam, pihak tentera menyedari komunikasi dengan pesawat lain turut terputus di kawasan sama.

Helikopter Mitsubishi SH-60K dari Pasukan Pertahanan Diri Maritim (MSDF) kebanyakannya beroperasi dari kapal pemusnah tentera laut.

MSDF berkata memandangkan tiada pesawat atau kapal lain di perairan berhampiran, pihaknya menolak penglibatan negara lain dalam insiden, tambah NHK.

Jepun sedang meningkatkan perbelanjaan pertahanan dan memperdalam kerjasama dengan Amerika Syarikat dan negara-negara lain di Asia sebagai tindak balas terhadap ketegasan China yang semakin meningkat di rantau ini dan Korea Utara.

April lalu sebuah helikopter tentera Jepun dengan 10 kru dalamnya terhempas di pulau Miyako di selatan Okinawa. Tiada yang terselamat.

Pada Januari 2022, sebuah jet pejuang Jepun terhempas di perairan wilayah Ishikawa tengah, membunuh dua juruterbang di dalamnya.

Manakala pada 2019, sebuah jet siluman F-35A terhempas ke dalam laut selepas berlepas dari timur laut Jepun dalam misi latihan.

November lalu sebuah pesawat tentera Osprey milik tentera AS terhempas di Jepun, membunuh kesemua lapan orang di dalamnya, dalam rentetan kemalangan maut terbaharu.

Ini mendorong keputusan oleh Amerika Syarikat pada bulan berikutnya untuk mendaratkan pesawat 'tilt-rotor' di seluruh dunia. Jepun juga memberhentikan armada pesawat yang sama.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE