TEL AVIV, 1 September - Keluarga tahanan israel di Gaza berhimpun di luar Kementerian Pertahanan semalam, mendesak kerajaan pimpinan Benjamin Netanyahu segera meluluskan perjanjian pembebasan dengan Hamas.
Michael Iluz, bapa kepada salah seorang tahanan, Guy Iluz, mendakwa kerajaan negara haram israel gagal mengambil langkah sewajarnya walaupun Hamas telah bersetuju dengan syarat perjanjian.
“Perdana Menteri sendiri yang kemukakan syarat, Hamas sudah terima. Tetapi beliau masih enggan membincangkan atau meluluskannya,” katanya.
Beliau turut bimbang tindakan ketenteraan berterusan akan mengancam nyawa 48 tahanan yang masih berada di Gaza.
“Apa yang mereka bincangkan hanyalah bagaimana meningkatkan serangan di Gaza, yang turut membahayakan anak saya dan tahanan lain,” tambahnya.
Protes berlangsung serentak dengan mesyuarat kabinet keselamatan israel yang membincangkan rancangan menawan Gaza City, yang digelar sebagai benteng terakhir Hamas.
Serangan udara dan darat israel semalaman dilaporkan memusnahkan rumah penduduk serta memaksa lebih ramai keluarga berpindah.
Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, lebih 63,000 orang terbunuh sejak operasi ketenteraan zionis dilancarkan, majoritinya orang awam, sekali gus mencetuskan krisis kemanusiaan serius di wilayah itu.