GAZA, 26 Ogos - Hospital Al-Shifa, pusat perubatan terbesar di Gaza, berdepan kekurangan bekalan perubatan kritikal akibat sekatan berpanjangan Israel, sekali gus menjejaskan rawatan terhadap pesakit dan mangsa serangan.
Kemudahan itu musnah dalam serangan Israel pada Mac 2024, sebelum dibuka semula September lalu dengan sokongan organisasi bantuan antarabangsa, hanya menempatkan 70 katil, sebuah bilik pembedahan dan unit rawatan rapi.
“Ketika ini kapasiti hospital hanya suku berbanding sebelum konflik. Hampir semua pesakit terpaksa dirawat di lantai kerana keadaan sentiasa sesak,” kata Dr. Ahmed Abdel Wahid, pegawai perubatan kecemasan di hospital berkenaan.
Hospital Al-Shifa kini menampung mangsa serangan selain pesakit penyakit lain. Pesakit, Muhammad Abu Tabak, menceritakan pengalaman ditembak dari kereta kebal Israel ketika pulang membawa bantuan makanan.
Sementara itu, pengarah perubatan hospital, Dr. Hassan al-Shaer berkata, petugas terpaksa bekerja antara 72 hingga 90 jam seminggu dalam keadaan serba kekurangan, selain berdepan tekanan mental akibat situasi kemanusiaan yang semakin meruncing.
Hospital-hospital di Gaza turut menjadi sasaran berterusan tentera Israel yang mendakwa ia digunakan Hamas. Daripada 10 bangunan Hospital Al-Shifa sebelum ini, kini hanya dua masih beroperasi.-REUTERS