KATHMANDU, 16 September – Protes antirasuah paling dahsyat yang meragut 72 nyawa dan mencederakan lebih 2,000 orang di Nepal telah menjejaskan musim pelancongan negara itu.
Ini sekali gus memaksa bekas perdana menteri K. P. Sharma Oli meletakkan jawatan.
Kawasan pelancongan utama seperti Thamel di Kathmandu pada Isnin masih lengang, meskipun kedai, pub dan restoran sudah dibuka semula selepas kekacauan minggu lalu.
Pihak berkuasa pelancongan Nepal, pemilik hotel dan pengusaha trek melaporkan ketibaan pelancong merosot 30% berbanding tahun lalu.
"Ini musim permulaan. Sangat buruk untuk industri pelancongan," kata Ram Chandra Giri, 49, pengatur ekspedisi trekking dan pemilik restoran Jepun, yang mendakwa 35% tetamu membatalkan tempahan.
Renu Baniya, pemilik hotel dan kedai antik, pula berkata tempahan hotelnya dibatalkan sepenuhnya untuk sebulan akan datang.
Imej bangunan parlimen dan Hotel Hilton terbakar mendorong beberapa negara termasuk India, AS, China, UK, Jerman dan Jepun mengeluarkan nasihat perjalanan agar mengelak lawatan tidak penting ke Nepal.
Industri pelancongan Nepal menerima 1.2 juta pengunjung setiap tahun dan menyumbang hampir 8% kepada KDNK bernilai lebih AS$40 bilion.
September hingga Disember dianggap musim paling sibuk, termasuk laluan ke Kem Asas Everest.
Ketua Eksekutif Lembaga Pelancongan Nepal, Deepak Raj Joshi, berkata kerosakan pada bangunan kerajaan dan hotel "mungkin memberi mesej negatif bukan sahaja kepada pelawat tetapi juga pelabur."
Beliau mengesahkan kadar pembatalan tempahan kini 8%-10% dalam beberapa hari terakhir.
Meskipun kerajaan sementara baharu pimpinan Sushila Karki berusaha memulihkan keadaan, sebahagian kawasan Kathmandu masih berbau asap dengan serpihan bangunan terbakar sedang dibersihkan.
Namun, beberapa pelancong asing yang kekal di Nepal berkata mereka berasa selamat.
"Keluarga dan rakan minta kami pulang. Tapi kami tidak pernah rasa tidak selamat," kata Franz, 55, dari Jerman. - REUTERS