WASHINGTON, 16 September – Mahkamah Rayuan Amerika Syarikat pada Isnin menolak cubaan Presiden Donald Trump untuk memecat Gabenor Rizab Persekutuan (Fed), Lisa Cook.
Ini merupakan kali pertama seorang presiden cuba berbuat demikian sejak bank pusat itu ditubuhkan pada 1913.
Tindakan berkenaan sekali gus mencetuskan pertikaian undang-undang yang boleh menggugat kebebasan Fed.
Keputusan Mahkamah Rayuan daerah Columbia membolehkan Cook kekal memegang jawatannya menjelang mesyuarat dasar Fed pada 16 dan 17 September, menyaksikan institusi berkenaan dijangka menurunkan kadar faedah bagi menyokong pasaran buruh yang perlahan.
Mahkamah menolak permintaan Jabatan Kehakiman untuk mengenepikan arahan sementara hakim persekutuan menghalang Trump daripada menyingkirkan Cook. yang dilantik oleh bekas Presiden Demokrat Joe Biden.
Pentadbiran Trump dijangka membawa kes itu ke Mahkamah Agung.
Hakim Daerah Jia Cobb sebelum ini memutuskan dakwaan Trump bahawa Cook terlibat dalam penipuan gadai janji sebelum dilantik berkemungkinan tidak mencukupi sebagai alasan sah untuk pemecatan.
Undang-undang penubuhan Fed hanya membenarkan presiden memecat gabenor "atas sebab tertentu," namun istilah itu tidak ditakrifkan secara jelas.
Tiada presiden pernah memecat seorang gabenor Fed sebelum ini, dan undang-undang tersebut tidak pernah diuji di mahkamah.
Cook, wanita kulit hitam pertama yang berkhidmat sebagai gabenor Fed, telah menyaman Trump dan Fed pada Ogos lalu, menegaskan dakwaan itu hanya helah untuk menyingkirkannya kerana pendirian dasarnya mengenai monetari.
Kes ini dilihat berimpak besar terhadap keupayaan Fed menetapkan kadar faedah tanpa pengaruh politik – sesuatu yang dianggap penting untuk memastikan kestabilan inflasi dan fungsi bebas bank pusat. - REUTERS