RUSIA, 18 Mei - Ketegangan antara Rusia dan Ukraine terus memuncak apabila kedua-dua negara saling melancarkan serangan dron pada Sabtu, susulan kegagalan rundingan gencatan senjata pertama mereka dalam tempoh lebih tiga tahun yang berlangsung di Istanbul, Türkiye.
Dalam kenyataan harian, Kementerian Pertahanan Rusia memaklumkan tentera negara itu berjaya menguasai sebuah penempatan di wilayah Donetsk dalam tempoh 24 jam terakhir.
Rusia juga didakwa menangkis beberapa serangan balas Ukraine dan melancarkan ofensif di Sumy, Kharkiv, Donetsk serta beberapa kawasan lain.
Serangan tersebut turut menyasarkan depot peluru dan bahan api, lokasi penyimpanan dron, lapangan terbang tentera serta penempatan sementara tentera Ukraine dan tentera upahan asing di 143 lokasi.
Sebanyak 80 dron Ukraine berjaya ditembak jatuh dalam tempoh itu, menurut kementerian berkenaan.
Sementara itu, Tentera Udara Ukraine melaporkan Rusia telah melancarkan serangan besar-besaran sejak pukul 11.50 malam (waktu tempatan) pada Jumaat, melibatkan 62 dron yang menyasarkan wilayah Sumy, Odessa dan Kharkiv.
Media tempatan Ukraine pula melaporkan pasukan keselamatan negara itu telah menggunakan dron untuk menyerang sebuah depot peluru Rusia yang terletak di wilayah Crimea.
Rundingan langsung selama dua jam antara delegasi Rusia dan Ukraine pada Jumaat berakhir tanpa kesepakatan mengenai gencatan senjata.
Bagaimanapun, kedua-dua pihak bersetuju untuk meneruskan rundingan dalam pusingan seterusnya serta melaksanakan pertukaran tahanan besar-besaran yang melibatkan 1,000 individu dari setiap pihak.-REUTERS