fb fb fb fb fb

Hamas sambung rundingan tidak langsung dengan Israel di Doha

Foto Hiasan / Reuters

DOHA, 18 Mei - Rundingan tidak langsung antara Hamas dan Israel telah disambung semula pada Sabtu di ibu negara Qatar, Doha, dalam usaha terbaharu mencapai gencatan senjata di Gaza dan memuktamadkan perjanjian pertukaran tebusan tanpa sebarang prasyarat.

Pegawai kanan Hamas, Mahmoud Mardawi berkata rundingan tersebut dijalankan dengan pengantaraan Qatar dan Amerika Syarikat.

Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz, mengesahkan penyambungan semula rundingan itu dan menyifatkan kembalinya Hamas ke meja rundingan sebagai satu perubahan ketara daripada pendirian penolakan sebelum ini.

Beliau menyatakan perubahan tersebut berlaku selepas Israel melancarkan operasi ketenteraan baharu yang diberi kod nama “Gideon’s Chariots”.

Operasi tersebut dilancarkan pada malam Jumaat dengan gelombang serangan udara dan penempatan tambahan tentera darat ke Gaza, sebagai usaha memperluaskan skop pertempuran, membebaskan tebusan serta membubarkan Hamas.

Laporan Radio Awam Israel, Kan, menyebut bahawa rundingan di Doha kini membincangkan pembebasan kira-kira 10 tebusan sebagai pertukaran kepada gencatan senjata selama satu setengah hingga dua bulan.

Sebagai sebahagian daripada cadangan, Israel akan membebaskan antara 200 hingga 250 tahanan Palestin, namun masih terdapat perbezaan pandangan antara kedua-dua pihak mengenai jumlah sebenar yang terlibat.

Sementara itu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, telah mengarahkan pasukan perunding Israel supaya kekal sementara di Qatar bagi memajukan rundingan ke arah pemeteraian perjanjian damai.-REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN