fb fb fb fb fb

Kedutaan India di Kiev gesa rakyatnya tinggalkan Ukraine

NEW DELHI, 16 Februari - Kedutaan India di Kiev mengesa rakyatnya meninggalkan Ukraine buat sementara waktu berikutan "ketidakpastian keadaan semasa", lapor Sputnik.

"Memandangkan keadaan tidak menentu di Ukraine, warga India terutama pelajar boleh mempertimbangkan untuk meninggalkan negara ini buat sementara waktu.

"Rakyat juga dinasihatkan mengelakkan sebarang perjalanan tidak penting ke Ukraine," menurut kenyataan kedutaan itu.

Selain itu, kedutaan juga menggesa rakyatnya "memaklumkan kehadiran mereka di negara terbabit bagi membolehkan kedutaan menghubungi mereka sekiranya perlu".

Kedutaan akan terus beroperasi seperti biasa, dan menyediakan perkhidmatan kepada warganegaranya, menurut kenyataan itu.

Sejak beberapa bulan lepas, Barat dan Ukraine menuduh Rusia mengerah tentera tambahan di sepanjang sempadan Ukraine sebagai persiapan untuk menyerang.

Moscow berulang kali menafikan dakwaan itu dan berkata ia tidak berniat menyerang negara bekas Soviet itu sambil menegaskan bahawa ia mempunyai hak memindahkan tenteranya di sekitar wilayahnya.

Rusia juga menyatakan kebimbangan terhadap aktiviti ketenteraan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) berhampiran sempadannya dan sokongan ketenteraan berterusan ke Ukraine, termasuk peningkatan bilangan senjata dan penasihat tentera Barat di wilayah pertikaian antara kedua-dua negara Donbas.-BERNAMA

Media Baharu