fb fb fb fb fb

Kebebasan media: Wartawan asing di China kini berdepan ancaman luar jangka

FOTO AFP

BEIJING, 31 Januari- Berdepan ancaman dan tindakan undang-undang, serangan negatif di media sosial atau "troll' dan bilangan rakan sekerja semakin berkurangan antara masalah dihadapi wartawan asing di China sekali gus memberi kesan buruk kepada kebebasan pelaporan media.

"Kelihatan Beijing menggalakkan tindakan atau ancaman melalui undang-undang terhadap wartawan asing dan menfailkan tindakan apabila sumber bersetuju untuk ditemu bual," menurut Kelab Wartawan Asing China (FCCC) dalam laporan tahunannya.

"Landskap risiko berubah-ubah dalam cara yang tidak dijangka," kata David Rennie, Ketua Biro Ekonomi di Beijing dalam laporan itu.

"Secara khusus, pelaporan organisasi media berdepan ancaman, mereka mungkin terdedah kepada sekatan undang-udang atau tindakan sivil atau paling menakutkan disiasat bawah undang-udang keselamatan negara," tambahnya.

Ini menandakan peralihan membimbangkan dalam kaedah mengawal media seperti menyenarai mereka (wartawan) menghadiri acara atau masalah dengan kad media dan visa, katanya.

Peningkatan ancaman tindakan undang-undang berlaku selepas penahanan pengacara TV Australia, Cheng Lei yang bekerja untuk penyiar China, CGTN dan Haze Fan dari Bloomberg News.

Pihak berkuasa China menyatakan penahanan dibuat kerana ia mendatangkan risiko kepada keselamatan negara. -AFP

Media Baharu