fb fb fb fb fb

Kebakaran pusat tahanan di Mexico, mayat mula dihantar pulang

BANDAR MEXICO, 8 April- Mexico mula memulangkan mayat 40 pendatang yang maut dalam satu kebakaran di pusat tahanan di bandar utara Juarez.

Menurut kementerian keselamatan Mexico dalam satu kenyataan, mayat seorang mangsa tiba di Colombia manakala tujuh mayat warga El Salvador dihantar ke darat dan dijangka tiba pada hari Sabtu.

Mayat 11 pendatang dari Guatemala pula dijadual diterbangkan pada minggu depan manakala enam pendatang Honduras yang maut masih dalam proses mengenal pasti mayat.

Anggota bahagian pengecaman dari Venezuela dijangka tiba pada Selasa untuk membantu urusan mengenal pasti mangsa.

"Tiga puluh sembilan orang maut dalam kebakaran bulan lalu termasuk 18 warga Guatemala, tujuh warga Salvador, tujuh warga Venezuela, enam warga Honduras dan seorang warga Colombia.

Mangsa ke-40 yang tidak diketahui kewarganegaraannya meninggal dunia selepas dibawa ke hospital.

Lima orang cedera parah dan sembilan lagi dipindahkan ke hospital khas di Mexico City kerana keadaan mereka yang serius," kata kenyataan itu.

Tiga pegawai imigresen dan seorang pengawal keselamatan swasta telah ditahan bagi membantu siasatan membabitkan pembunuhan akibat kebakaran itu.

Pihak berkuasa menuduh orang yang bertanggungjawab ke atas kemudahan itu, tidak melakukan apa-apa tindakan segera dalam memindahkan tahanan.

Presiden Mexico, Andres Manuel Lopez Obrador berikrar bulan lalu bahawa pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mereka yang didapati bersalah.-AFP


(FOTO AFP)

 

 

Media Baharu