fb fb fb fb fb

Ikan paus sperma terdampar mati di Bali

(Pegawai marin melakukan ujian nekropsi ke atas bangkai ikan paus sperma/AFP)

KLUNGKUNG, 8 April- Seekor ikan paus sepanjang 18 meter yang mati di persisir pantai di Bali pada Rabu akan dibedah siasat oleh pakar haiwan Indonesia.

Paus sperma itu dikesan mendekati persisir pantai timur pulau tersebut pada hari kejadian dan berjaya ditolak kembali ke laut oleh penduduk tempatan dan pegawai marin.

Bagaimanapun, ia ditemukan mati di pantai lain, beberapa jam kemudian dan tiada kesan kecederaan ditemukan pada bangkai haiwan berkenaan.

"Kami masih menyiasat punca kematian. Kami ingin mendapatkan penjelasan saintifik sama ada ia berpunca daripada pencemaran atau plastik," kata pegawai marin dan perikanan tempatan, Permana Yudiarso.

Dalam kejadian itu, polis turut melakukan kawalan dengan mengepung kawasan pantai di Kabupaten Klungkung untuk menghentikan kecurian daging atau anggota badan ikan paus terbabit.

Menurut Yudiarso, ikan paus kebiasannya akan menghampiri perairan cetek dan pantai apabila sakit atau tenat.

“Hari ini (Khamis) kami menjalankan ujian nekropsi, dan selepas itu kami akan dapatkan jengkaut untuk menanam bangkai di kawasan berhampiran,” kata Yudiarso.

Pada 2018, seekor paus sperma ditemukan mati di Indonesia dengan lebih 100 cawan plastik dan 25 beg plastik di dalam perutnya, menimbulkan kebimbangan mengenai masalah sampah laut yang besar di kepulauan Asia Tenggara.

Indonesia adalah penyumbang kedua terbesar dunia kepada serpihan marin selepas China. -AFP

(Ikan paus sperma yang ditemukan di pantai Yeh Malet,
Klungkung, Indonesia/AFP)

 

Media Baharu