fb fb fb fb fb

Kebakaran pusat karaoke, 12 maut 11 cedera

(Foto menunjukkan anggota bomba di tempat kejadian memadam kebakaran
sebuah bar karaoke di wilayah Binh Duong, utara Bandaraya Ho Chi Minh / AFP)

HANOI, 7 September- Kebakaran di sebuah bar karaoke di selatan Vietnam mengorbankan 12 orang dan menyebabkan 11 cedera, kata seorang pegawai tempatan hari ini.

Kebakaran melanda tingkat dua dan tiga bangunan itu pada malam Selasa, memerangkap pelanggan dan kakitangan ketika asap tebal memenuhi tangga, lapor media kerajaan.

Ramai bersesak-sesak ke balkoni untuk melarikan diri daripada api yang merebak dengan cepat dan yang lain terpaksa melompat dari bangunan itu, tambah laporan itu.

Visual menunjukkan kepulan asap keluar dari bar yang terletak di kawasan perumahan yang sesak di bandar Thuan An, utara hab komersial Ho Chi Minh sambil anggota bomba menaiki kren cuba memadamkan kebakaran.

Seorang pegawai tempatan mengesahkan kepada AFP bahawa 12 orang maut dan 11 cedera dalam kebakaran itu.

"Pasukan penyelamat masih mencari mangsa di tempat kejadian. Punca kebakaran belum dapat dipastikan dan sedang disiasat," Nguyen Thanh Tam, pegawai tertinggi parti komunis yang memerintah di bandar Thuan An, memberitahu AFP.

Saksi, Nguyen Sang, yang tinggal berhampiran bar karaoke itu, memberitahu laman berita VnExpress bahawa aketeika jentera bomba tiba di tempat kejadian, seorang penyambut tetamu memgesahkan terdapat 40 orang terperangkap di dalam.

"Ramai yang berlari keluar melalui pintu masuk utama, tetapi ramai lagi yang tidak tahan panas dan mereka melompat ke bawah, ada yang patah tangan dan kaki," kata Sang.

Kebakaran itu adalah yang paling buruk di Vietnam sejak 2018, apabila 13 orang maut dalam kebakaran di kompleks pangsapuri di Ho Chi Minh City.

Pada 2016, kebakaran di sebuah bar karaoke di Hanoi menyebabkan 13 orang terkorban, mendorong kepada penilaian seluruh negara mengenai langkah pencegahan kebakaran di bar dan kelab.

Bulan lalu, tiga anggota bomba maut selepas cuba memadamkan kebakaran di sebuah lagi bar karaoke di ibu negara.- AFP


(Foto menunjukkan anggota bomba di tempat kejadian di 
sebuah bar karaoke di wilayah Binh Duong, utara Bandaraya Ho Chi Minh)

Media Baharu