(Seorang lelaki berjalan di sepanjang jalan pantai yang rosak di Ulsan pada 6 September 2022,
ketika Taufan Hinnamnor melanda wilayah selatan Korea Selatan/AFP)
SEOUL, 7 September- Angka kematian akibat Taufan Hinnamnor meningkat kepada 10 orang di Korea Selatan, kata pihak berkuasa hari ini, selepas ribut melanda pantai selatan dengan ombak besar dan hujan lebat.
Taufan tersebut, antara yang paling kuat melanda negara itu dalam beberapa dekad, membanjiri jalan dan bangunan ketika ia melaluinya pada hari Isnin dan Selasa.
Tujuh mayat dan dua yang terselamat dibawa keluar dari tempat letak kereta bawah tanah kompleks pangsapuri, di bandar pelabuhan tenggara Pohang, yang ditenggelami air, kata Ibu Pejabat Pencegahan Bencana dan Keselamatan Pusat.
Kesemua yang terperangkap itu memasuki kawasan tempat letak kereta bagi mengalihkan kenderaan semasa hujan lebat, menurut laporan media tempatan.
Operasi mencari dan menyelamat diteruskan hari ini, dan pihak berkuasa berkata dua orang masih hilang.
(Gambar pada 6 September 2022 menunjukkan anggota penyelamat Korea Selatan membawa mangsa yang terselamat dari tempat
letak kereta bawah tanah yang tenggelam di kompleks pangsapuri, di bandar pelabuhan tenggara Pohang/AFP)
Taufan Hinnamnor memaksa lebih 4,700 orang meninggalkan kediman dan memusnahkan sekitar 12,000 rumah dan bangunan.
Hampir 90,000 isi rumah terputus bekalan elektrik di seluruh negara ketika ribut melanda, tetapi bekalan telah dipulihkan kepada kebanyakan daripada mereka menjelang pagi Rabu, kata pihak berkuasa.
Sebelum taufan itu mendarat, pihak berkuasa Korea Selatan menutup lebih 600 sekolah di seluruh negara sebagai langkah berjaga-jaga dan syarikat penerbangan tempatan membatalkan kira-kira 250 penerbangan domestik.-AFP