fb fb fb fb fb

Tunisia siasat insiden dron serang kapal GSF

GSF yang memulakan pelayaran dari Barcelona, Sepanyol selamat tiba di Tunisia semalam, selepas belayar selama lapan hari. Foto AFP

SIDI BOU SAID, 9 September - Tiada sebarang dron dikesan di perairan Tunisia selepas senjata itu disyaki mengenai sebuah kapal misi kemanusiaan ke Gaza Global Sumud Flotilla (GSF) awal pagi tadi.

Jurucakap pengawal negara, Houcem Eddine Jebabli memaklumkan, siasatan lanjut sedang dilakukan pihaknya.

"Tiada drone dikesan. Penemuan awal mendapati kebakaran berlaku pada jaket keselamatan di atas kapal yang berlabuh kira-kira 50 batu dari pelabuhan Sidi Bou Said," katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, tular dalam media sosial yang memperlihatkan sebuah kapal GSF terbakar, berpunca daripada sebuah bebola api besar.

Misi GSF yang memulakan pelayaran dari Barcelona, Sepanyol selamat tiba di Tunisia semalam, selepas belayar selama lapan hari.

Secara keseluruhan, misi GSF membabitkan lebih 1,000 sukarelawan yang menaiki hampir 70 kapal dengan satu matlamat iaitu memecah kepungan terhadap Gaza. AFP

JALALUDDIN BIN BAHARIN