SEOUL, 2 April - Sekurang-kurangnya 120 rumah yang padat dengan penduduk di tengah Seoul terpaksa dipindahkan berikutan berlaku kebakaran hutan, hari ini.
Kebakaran yang bermula di sebuah gunung di tengah-tengah Seoul pada kira-kira pukul 11.53 pagi (waktu tempatan) memusnahkan hutan sebesar kira-kira 30 padang bola sepak sebelum hampir dipadamkan setakat 5 petang (waktu tempatan), menurut pegawai.

Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Asap berkepul-kepul dari hutan kelihatan di seluruh bandar ketika anggota bomba bertungkus-lumus memadamkan kebakaran dengan pesawat pengebom air.
Beberapa helikopter dilihat terbang di atas Sungai Han dalam usaha untuk membekalkan air untuk memadamkan kebakaran, kata seorang saksi Reuters. - REUTERS