fb fb fb fb fb

Kebakaran hutan: Chile isytihar perintah berkurung

(Kebakaran hutan menghampiri bandar Chiguayante, di wilayah Concepcion, Chile
pada 9 Februari 2023/AFP)

CHILE, 10 Februari- Chile pada Khamis mengisytiharkan perintah berkurung di wilayah selatan-tengah akibat kebakaran hutan yang sudah berlanjutan selama lebih seminggu, menyebabkan sekurang-kurangnya 24 orang terkorban dan 2,000 lagi cedera.

Perintah berkurung tengah malam hingga pukul 5.00 pagi itu berkuat kuasa bermula hari ini di 28 kawasan di wilayah terjejas teruk termasuk Biobio, Nuble dan La Araucania.

Ketua Tentera Biobio, Jorge Keitel berkata, arahan itu dikuatkuasakan bagi mengelakkan kecurian dan rompakan di kawasan terjejas.

Ketika ini, kira-kira 5,600 anggota bomba Chile, disokong oleh pakar dari Mexico, Colombia, Sepanyol dan Argentina sedang memerangi 90 kebakaran utama dengan 323 kebakaran lagi direkodkan masih aktif.

Kemarau teruk dan suhu melebihi 40 darjah Celsius di beberapa wilayah turut mencetuskan kebimbangan akan kemaraan api.

Setakat ini, kira-kira 300,000 hektar hutan musnah dijilat api dan lebih 1,200 buah rumah hancur, menyebabkan sekurang-kurangnya 5,500 orang kehilangan tempat tinggal, manakala 20 suspek ditahan kerana disyaki menyebabkan kebakaran.

Terdahulu, Chile mengisytiharkan darurat bencana di beberapa wilayah selatannya bagi membolehkan sumber tambahan disediakan untuk memerangi kecemasan susulan dilanda kebakaran hutan sejak 1 Februari lalu. -AFP

(Anggota bomba berehat selepas memadam kebakaran hutan di Santa Juana, wilayah Concepcion,
Chile 
pada 6 Februari 2023/AFP)

 

 

 

Media Baharu