ROM, 28 April- Kardinal Gereja Katolik yang tiba di Rom akan bermesyuarat pada Isnin ini bagi membincangkan pemilihan paus yang baharu, lapor agensi berita Jerman (dpa).
Mesyuarat itu merupakan Perhimpunan Agung kelima sejak Paus Francis meninggal dunia pada Isnin lalu.
Setakat ini belum jelas jumlah sebenar kardinal yang akan menyertai mesyuarat terbabit.
Sejak beberapa hari lalu, pelbagai spekulasi timbul mengenai calon-calon yang berpotensi serta individu yang menjadi pilihan utama.
Para kardinal sebelum ini mengadakan beberapa pertemuan pada hari-hari menjelang upacara pengebumian Paus Francis yang berlangsung pada Sabtu lalu.
Tarikh rasmi bagi proses pemilihan paus di Gereja Kecil Sistine masih belum ditetapkan, namun tarikh paling awal berkemungkinan pada 5 Mei.
Untuk dipilih sebagai paus, seseorang kardinal perlu memperoleh dua pertiga undian dalam sidang sulit. Proses pengundian dijalankan sekali pada hari pertama, diikuti empat kali sehari pada hari-hari berikutnya.
Setelah paus baharu dipilih, asap putih akan kelihatan daripada serombong yang dipasang di atas bumbung Gereja Kecil Sistine sebagai tanda pemilihan selesai.- BERNAMA-dpa