fb fb fb fb fb

Kapal perang Itali tembak jatuh dron di Laut Merah

Foto www.seaforces.org

ROME, 3 Mac- Kapal tentera laut Itali menembak jatuh sebuah dron yang didakwa terbang melintasi kapal berkenaan di Laut Merah kata Kementerian Pertahanan Itali pada Sabtu.

Menurut kenyataan Kementerian Petahanan Itali, tindakan tersebut dilakukan dengan tujuan mempertahankan keselamatan kapal Duilio yang ditugaskan untuk membantu melindungi laluan perdagangan daripada serangan dron dan peluru berpandu kumpulan Houthi.

"Dron serupa yang diguna pakai dalam serangan sebelum ini dilaporkan berada kira-kira 6 kilometer (KM) dari kapal Itali", kata kenyataan tersebut.

Dalam pada itu, Menteri Pertahanan Itali, Guido Crosetto berkata serangan oleh kumpulan Houthi yang dianggap sebagai sokongan terhadap perjuangan Hamas di Gaza merupakan salah satu bentuk peperangan serampang dua mata menentang negara-negara lain.

"Serangan kumpulan Houthi merupakan pencabulan terhadap undang-undang antarabangsa dan keselamatan lalu lintas maritim yang melibatkan kepentingan ekonomi kami", kata Crosetto.

Pada Februari lalu, Kesatuan Eropah (EU) telah melancarkan misi tentera laut ke Laut Merah yang digelar Eunavfor Aspides, bertujuan melindungi kapal di kawasan berkenaan.

Itali dilaporkan bersetuju untuk menghantar pegawai tertinggi bagi mengetuai misi perkapalan di Laut Merah.-REUTERS

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD