fb fb fb fb fb

Kapal GSF terus berlayar ke Gaza walaupun diancam

Foto VIORY

KOUFONISIA, 28 Ogos - Kapal-kapal Global Sumud Flotilla (GSF) meneruskan misi penghantaran bantuan kemanusiaan ke Gaza pada Sabtu, walaupun terdapat ancaman dari Israel.

Rakaman dari perairan berhampiran Pulau Koufonisia, Crete, memaparkan para aktivis sedang bersiap sedia di atas kapal untuk memulakan pelayaran.

Menurut Jordi Coronas, seorang aktivis yang juga Ahli Majlis Bandaraya Barcelona, kerjasama sebagai satu pasukan amat penting dalam menjayakan misi tersebut.

"Kami bermula dari jarak 1,800 batu. Kami telah menyelesaikan 1,300 batu, bukan tanpa kesukaran. Laut adalah persekitaran yang mencabar, kapal kadang-kadang mengalami masalah teknikal, namun kami masih di sini kerana kami bekerjasama sebagai satu pasukan.

"Dan saya percaya bahawa dengan kerjasama pasukan, peluang untuk mencapai matlamat adalah jauh lebih tinggi. Oleh itu, dalam apa sahaja yang bergantung kepada kami, kami akan terus berusaha dan bekerja 200 peratus untuk mencapainya," katanya di sini.

Para aktivis lain turut menekankan pendekatan berhati-hati oleh anak kapal, dengan mengelak daripada melakukan sebarang tindakan provokatif yang boleh dijadikan alasan untuk serangan oleh Israel.

"Ancaman memang akan sentiasa wujud. Saya percaya bahawa akhirnya kita perlu lakukan bahagian kita, dan itu bergantung kepada keazaman dan latihan. Kita mesti terus mengamalkan langkah-langkah keselamatan sekiranya berlaku sebarang situasi tidak diingini dan sentiasa bersedia.

"Apa yang boleh dilakukan oleh pasukan kerajaan Zionis Israel bukanlah di bawah kawalan kami. Namun, apa yang boleh kami kawal ialah bagaimana kami bertindak balas terhadap sebarang serangan yang mungkin berlaku ke atas flotila ini," tambah Coronas.

Sementara itu, aktivis dari Scotland, Saddaqat Khan, menyuarakan betapa mendesaknya keperluan membantu orang awam di Gaza.

"Sudah tentu tahap ancaman dan risiko semakin meningkat, tetapi keadaan di Gaza jauh lebih buruk daripada keadaan kami sekarang. Jadi keselamatan peribadi kami, walau seburuk mana pun, tetap tidak sebanding dengan penderitaan rakyat Palestin.

"Keselamatan peribadi kami, walau seteruk mana pun, tidak seberapa jika dibandingkan dengan penderitaan rakyat Palestin," katanya.

GSF berlepas dari Tunisia pada awal September dengan lebih 50 kapal yang membawa antara 500 hingga 700 aktivis dari lebih 40 negara.

Pihak berkuasa Israel telah berikrar bahawa tiada kapal awam akan dibenarkan melepasi sekatan laut.

Dua buah kapal dilaporkan telah diserang oleh dron semasa berlabuh di perairan Tunisia pada awal September.

Israel tidak memberikan sebarang komen mengenai insiden tersebut, manakala pihak berkuasa Tunisia masih menjalankan siasatan.

Sementara itu, Gaza kini berada pada tahap kebuluran tertinggi dengan lebih 94 peratus hospital telah musnah.

Kementerian Kesihatan Palestin melaporkan lebih 65,549 kematian akibat serangan berterusan Israel, setakat artikel ini diterbitkan. -VIORY

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM