NEW YORK, 28 September - Kemusnahan dan keganasan di Gaza menjadikan tiada tempat yang selamat buat penduduk Palestin, kata Ketua Pesuruhjaya Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA), Philippe Lazzarini.
Beliau turut menyeru negara-negara anggota Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) mempertingkatkan usaha untuk menamatkan konflik Israel-Hamas, serta memulihkan keamanan di wilayah yang dilanda perang, selain mengiktiraf Negara Palestin.
Lazzarini menyatakan bahawa Gaza telah musnah teruk akibat serangan berterusan Israel, menyebabkan kemudahan asas hancur dan jumlah kematian, kebuluran, serta perpindahan rakyat yang sangat besar.
"Sepanjang 20 bulan yang lalu, kita telah menyaksikan kemusnahan sepenuhnya. Tiada satu tempat pun yang selamat buat rakyat Gaza. Pusat kesihatan, hospital, sekolah, dan sumber air turut menjadi sasaran.
"Kesan terhadap penduduk amat luar biasa. Lebih 65,000 orang terbunuh, majoritinya orang awam, wanita dan kanak-kanak. Gaza kini juga digambarkan sebagai wilayah yang dilanda kebuluran.
"Kebuluran telah diisytiharkan, dan beberapa minggu selepas itu, seluruh penduduk di bahagian utara dipaksa berpindah semula. Seluruh penduduk terpaksa bergerak dari utara ke selatan, dan kini mereka 'ditempatkan' di selatan seperti sebuah penjara terbuka yang sesak atau kem tahanan besar," katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu wawancara bersama China Global Television Network (CGTN) di sini baru-baru ini.
Terdahulu, beberapa kerajaan Eropah mengiktiraf Negara Palestin semasa Sesi Ke-80 Perhimpunan Agung PBB, sebagai sebahagian daripada usaha terbaru komuniti antarabangsa untuk mendorong pelaksanaan penyelesaian konflik Israel-Hamas.
Menurut Lazzarini, langkah itu menunjukkan pengiktirafan yang semakin meluas dalam kalangan negara-negara bahawa penyelesaian itu amat mendesak.
"Benar, hari ini semakin banyak negara turut mengiktiraf Negara Palestin. Sebenarnya, mereka menyertai 140 negara anggota lain yang telah pun berbuat demikian. Saya percaya ini adalah satu pencapaian penting.
"Jika kita tidak bangkit sekarang dan benar-benar komited daripada sudut politik, perkara itu mungkin tidak akan berlaku. Saya percaya langkah ini penting untuk memaksa negara-negara anggota menunjukkan komitmen sebenar dalam mencari penyelesaian politik dan melibatkan diri dengan lebih serius dalam proses damai," katanya lagi. -REUTERS