fb fb fb fb fb

Deretan khemah penduduk Palestin penuhi pesisir pantai

Foto REUTERS

GAZA, 28 September - Deretan khemah yang menempatkan rakyat Palestin yang dipaksa keluar dari bandar Gaza memenuhi kawasan sepanjang pesisir pantai di tengah Gaza pada Ahad ketika Israel memperluas serangan darat ke atas bandar tersebut.

Penduduk yang dipindahkan berkata mereka terpaksa berkumpul di kawasan itu, yang jaraknya kurang daripada satu kilometer kerana gagal menemui tempat perlindungan selamat di bahagian selatan.

Ramai juga dilihat berjalan kaki sambil membawa barangan peribadi, mencari tempat berteduh di tepi jalan.

Program Makanan Sedunia PBB (WFP) menganggarkan antara 350,000 hingga 400,000 rakyat Palestin telah meninggalkan bandar Gaza sejak Israel memulakan serangan darat berskala besar beberapa minggu lalu, namun ratusan ribu lagi masih kekal di kawasan itu.

Serangan berterusan Israel sejak hampir dua tahun lalu menyebabkan lebih 65,000 rakyat Palestin terbunuh, keseluruhan penduduk dipindahkan, dan sistem kesihatan wilayah Gaza lumpuh sepenuhnya.

Pemantau kebuluran global pula melaporkan bahawa kebuluran telah melanda beberapa kawasan di Gaza, manakala pakar-pakar hak asasi manusia menyifatkan tindakan Israel dalam peperangan ini setaraf dengan jenayah genosid. -REUTERS

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM