fb fb fb fb fb

Kapal China berlabuh di Sri Lanka, AS bimbang

(Kapal Yuan Wang 5 memasuki pelabuhan laut dalam Hambantota selepas
mendapat kebenaran untuk memasuki perairan Sri Lanka/AFP)


SRI LANKA, 16 Ogos- Sebuah kapal penyelidikan China memasuki pelabuhan di selatan Sri Lanka yang dikendalikan oleh China di Hambantota pada Selasa walaupun terdapat kebimbangan dari India dan Amerika Syarikat (AS) mengenai aktivitinya.

Menurut pegawai pelabuhan, Kapal Yuan Wang 5 memasuki pelabuhan laut dalam Hambantota selepas mendapat kebenaran untuk memasuki perairan Sri Lanka dengan syarat ia tidak akan terlibat dalam sebarang penyelidikan.

Kapal itu pada asalnya dijangka tiba minggu lepas, tetapi Colombo meminta Beijing menangguhkan lawatan berikutan bantahan oleh India, yang berkongsi kebimbangan Barat mengenai aktiviti China di rantau itu.

Tetapi pada Sabtu, selepas rundingan sengit, Colombo mengumumkan pusingan U, mengatakan kebenaran telah diberikan untuk kapal itu berlabuh di Hambantota untuk tempoh enam hari.

Laman web analisis penghantaran menggambarkan Yuan Wang 5 sebagai kapal peninjau dan penyelidikan, tetapi menurut laporan media India, ia adalah kapal pengintip dwiguna.


(Kapal Yuan Wang 5, tiba di pelabuhan Hambantota/AFP)

Sri Lanka yang berhadapan masalah kewangan telah meminjam daripada China sejak 2005 sehingga 2015, dan pada 2017 memajak pelabuhan Hambantota, yang terletak di laluan perkapalan utama Timur-Barat kepada Beijing selepas gagal membayar hutang.

China kekal sebagai pemiutang dua hala terbesar Sri Lanka, dan memiliki lebih 10 peratus hutang asing di pulau itu.

Sokongan Beijing adalah penting untuk Colombo, yang sedang mengalami krisis ekonomi yang teruk, seterusnya menyusun semula pinjaman luar bagi melayakkan negara itu mendapatkan pinjaman daripada Tabung Kewangan Antarabangsa.

Pada 4 Ogos, Presiden Ranil Wickremesinghe "mengulangi komitmen tegas Sri Lanka terhadap dasar satu China" selepas Speaker Dewan Rakyat AS Nancy Pelosi melawat Taiwan, memberi amaran terhadap "tidak campur tangan dalam hal ehwal dalaman negara". -AFP

Media Baharu