fb fb fb fb fb

Kanada yakin mesyuarat G7 mampu capai kestabilan di tengah ketegangan perdagangan

Menteri Kewangan Kanada, François-Philippe Champagne (kiri), bersama Menteri Kewangan Ukraine, Sergii Marchenko, berucap pada sidang media bersempena Mesyuarat Menteri Kewangan dan Gabenor Bank Pusat G7 di Banff, Alberta, Kanada. Foto- AFP

BANFF, 21 Mei - Menteri Kewangan Kanada, Francois-Philippe Champagne, menyuarakan nada optimis namun kekal berwaspada ketika membuka mesyuarat pemimpin kewangan G7 di Banff.

Beliau menyifatkan ekonomi global kini berada di saat genting, dengan keutamaan Kanada sebagai Pengerusi G7 adalah memulihkan kestabilan dan pertumbuhan.

Katanya, G7 perlu kembali memainkan peranan penting dalam menangani cabaran makroekonomi dan menyokong momentum pertumbuhan dunia.

Mesyuarat kali ini berlangsung ketika ekonomi utama dunia terus ditekan ketegangan perdagangan dan dasar tarif Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.

Pengenaan tarif meluas oleh Washington mencetuskan kebimbangan terhadap inflasi dan pertumbuhan perlahan pada peringkat global.

Champagne turut menegaskan kepentingan perdagangan berlandaskan peraturan yang adil dan boleh dijangka demi manfaat bersama.

Beliau juga menjemput Menteri Kewangan Ukraine, Sergii Marchenko, untuk membuka sesi pertama mesyuarat.

Kanada dalam masa sama dilihat berpotensi menjadi jambatan penyatu dalam kalangan anggota G7 di tengah ketidaktentuan ekonomi dunia. -AFP

NUR SHARIDA SHAHABUDDIN