OTTAWA, 9 Jun- Kanada melancarkan pasaran pelepasan karbon nasional untuk membantu mencapai matlamat perancangan iklim di negara itu.
Ini termasuklah dengan membenarkan masyarakat bandar dan petani menjual kredit untuk pengurangan CO2.
Di bawah sistem itu, peserta berdaftar boleh menjana satu kredit untuk setiap tan pelepasan yang dikurangkan atau dikeluarkan dari atmosfera.
Kredit kemudiannya boleh dijual kepada orang lain di Kanada untuk membantu mereka memenuhi kewajipan pematuhan atau matlamat pengurangan pelepasan.
"Sistem ini memberi peluang kepada kegiatan perhutanan, petani, komuniti Orang Asli, majlis perbandaran dan lain-lain untuk memperoleh hasil dengan mengurangkan pencemaran," kata Menteri Alam Sekitar Stephen Guilbeault dalam sidang akhbar pada Rabu.
Bagi kumpulan pencinta alam sekitar, insiatif itu bagaimanapun dilihat ketinggalan dalam mendepani cabaran perubahan iklim.
"Offset tidak menghalang karbon daripada memasuki atmosfera dan memanaskan planet, tetapi di atas kertas ia menjadikan pencemar besar kelihatan baik," kata Salome Sane dari Greenpeace dalam satu kenyataan.
(Menteri Alam Sekitar Kanada, Stephen Guilbeault/ AFP)
Ottawa telah berjanji untuk mengurangkan pelepasan karbon Kanada sehingga 45 peratus di bawah paras 2005 menjelang 2030.
Tetapi beberapa laporan bebas mengatakan kerajaan tidak bertindaka sewajarnya untuk mencapai sasaran itu, dan ketinggalan di belakang rakan sejawatan G7 dalam mengurangkan pelepasan karbon.
Sistem kredit yang membolehkan kredit dijana daripada projek yang dimulakan sejak 1 Januari 2017 itu akan membenarkan tapak pelupusan sampah menjual kredit untuk metana yang diperoleh.
Petani juga boleh menjana kredit dengan mengasingkan lebih banyak karbon dalam tanah mereka dengan berselang-seli di ladang tempat mereka bercucuk tanam atau menggunakan makanan ternakan yang menghasilkan jumlah gas yang minimum. -AFP