fb fb fb fb fb

Kanada beku import dan jualan senjata api

OTTAWA, 31 Mei - Perdana Menteri Justin Trudeau hari ini mengumumkan cadangan pembekuan pemilikan pistol di Kanada serta mengharamkan pengimportan dan penjualan senjata api itu, berikutan insiden tembakan besar-besaran baru-baru ini di Amerika Syarikat.

Rang undang-undang itu bagaimanapun mesti diluluskan oleh Parlimen, dengan parti Liberal yang memerintah hanya memegang minoriti kerusi.

"Kami memperkenalkan undang-undang untuk melaksanakan pembekuan negara terhadap pemilikan pistol," kata Trudeau pada sidang akhbar, yang disertai berpuluh-puluh keluarga dan rakan mangsa keganasan senjata api.

"Ini bermakna orang awam tidak lagi boleh membeli, menjual, memindahkan atau mengimport pistol di mana-mana di Kanada," katanya. "Dengan kata lain, kami mengehadkan pasaran untuk pistol."

Beberapa hari selepas tembakan besar-besaran terburuk di Kanada menyebabkan 23 maut di luar bandar Nova Scotia pada April 2020, kerajaan mengharamkan 1,500 jenis senjata api gred tentera atau gaya serangan,(assault-style firearms).

Tetapi Trudeau mengakui pada hari Isnin bahawa keganasan senjata api terus meningkat.

Agensi perangkaan kerajaan melaporkan minggu lalu bahawa jenayah kekerasan berkaitan senjata api menyumbang kurang daripada 3% daripada semua jenayah kekerasan di Kanada.

Tetapi sejak 2009 kadar per kapita senjata api yang diacukan kepada seseorang telah meningkat hampir tiga kali ganda, manakala kadar tembakan dilepaskan menggunakan pistol dengan niat untuk membunuh atau mencederakan meningkat lima kali ganda.

Hampir dua pertiga jenayah senjata api di kawasan bandar melibatkan pistol.

Menteri Keselamatan Awam Marco Mendicino menganggarkan terdapat kira-kira satu juta pistol di negara ini, jumlah yang meningkat dengan ketara berbanding sedekad lalu.

Trudeau mengulas, "Orang ramai harus bebas pergi ke pasar raya, sekolah atau tempat ibadat mereka tanpa rasa takut. Orang ramai harus bebas pergi ke taman atau ke majlis hari jadi tanpa bimbang tentang apa yang mungkin berlaku daripada peluru sesat.

"Keganasan senjata api adalah masalah yang kompleks," katanya. "Tetapi pada penghujung hari, matematiknya sangat mudah: semakin sedikit senjata dalam komuniti kita, semakin selamat semua orang."

Undang-undang yang dicadangkan itu juga akan melucutkan lesen senjata api bagi yang terlibat dalam keganasan rumah tangga dan senjata api tersebut akan dirampas kerana dianggap sebagai risiko kepada diri mereka sendiri atau orang lain, serta mengukuhkan keselamatan sempadan dan hukuman jenayah bagi penyeludupan senjata api.

Ia juga akan mengharamkan senapang yang mampu mengisi lebih daripada lima peluru.- AFP

 


( Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau)

Media Baharu