fb fb fb fb fb

EU setuju larang import minyak dari Rusia

BRUSSELS, 31 Mei- Pemimpin Kesatuan Eropah (EU) bersetuju terhadap larangan import minyak dari Rusia selepas berjaya mencapai kata sepakat dengan Hungary yang sebelum ini menolak tindakan tersebut sebagai hukuman terhadap Moscow susulan mencetuskan perang di Ukraine.

EU yang dianggotai 27 negara itu menghabiskan masa berminggu-minggu dalam mengadakan rundingan tawar-menawar berhubung cadangan sekatan terhadap produk minyak Rusia namun mendapat tentangan Perdana Menteri Hungary, Viktor Orban.

Pemimpin EU yang bermesyuarat di Brussels mencapai perjanjian bagi pengecualian penghantaran yang tiba di Eropah melalui saluran paip daripada larangan itu, selepas Budapest memberi amaran untuk menghentikan bekalan kerana bimbang merosakkan ekonominya.

"Persetujuan dicapai untuk melarang eksport minyak Rusia ke EU. Ini serta-merta meliputi lebih dua pertiga daripada import minyak Rusia sekali gus mengurangkan sumber besar pembiayaan untuk mesin perangnya," kata Ketua Majlis Eropah, Charles Michel menerusi Twitter semasa sidang kemuncak itu.

"Tekanan maksimum ke atas Rusia untuk menghentikan perang," tambahnya.


(Foto Hiasan/REUTERS)

Menurut Presiden Suruhanjaya EU, Ursula von der Leyen, berkata langkah itu bakal mengurangkan kira-kira 90% import minyak dari Rusia ke negara EU menjelang akhir tahun ini.

"Rusia telah memilih untuk meneruskan perangnya di Ukraine. Malam ini, sebagai orang Eropah kita akan bersama dalam solidariti dengan rakyat Ukraine," tegas Presiden Perancis, Emmanuel Macron dalam ciapan Twitternya.

Perdebatan mengenai enam pakej sekatan ekonomi terhadap Rusia juga dikatakan menjejaskan perpaduan kesatuan itu dalam menghadapi serangan Kremlin ke atas Ukraine.

Michel berkata pakej sekatan itu turut merangkumi memutuskan hubungan bank terbesar Rusia, Sberbank dari sistem SWIFT global, mengharamkan tiga penyiar negara itu dan menyenaraihitamkan individu yang dipersalahkan atas jenayah perang.

"EU telah bersetuju untuk menghantar bantuan kewangan kepada Ukraine sebanyak $9.7 bilion euro bagi menampung "keperluan mudah tunai segera" Kiev ketika bergelut dengan pencerobohan Rusia.

Sementara itu, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, berkata perpaduan teguh antara negara kesatuan itu adalah cara paling berkesan untuk berdepan Rusia sambil menekankan Kiev menunjukkan betapa pentingnya perpaduan semasa memerangi pencerobohan Rusia.

"Semua pertengkaran di Eropah mesti ditamatkan, pertikaian dalaman yang hanya menggalakkan Rusia untuk memberi lebih banyak tekanan kepada anda," kata Zelensky memberitahu sidang kemuncak EU.

Dalam pada itu, Zelensky juga berharap negara EU berkenaan yang menentang status pencalonan Kiev ke dalam kesatuan itu akan mengubah fikiran masing-masing.

"Kami memenuhi semua kriteria yang diperlukan untuk meraih status ini," katanya. - AFP

Media Baharu