fb fb fb fb fb

Kanada akan haramkan Huawei dan ZTE daripada rangkaian tanpa wayar 5G

OTTAWA, 20 Mei - Kanada akan mengharamkan gergasi telekomunikasi China, Huawei dan ZTE daripada rangkaian tanpa wayar 5G kerana kebimbangan keselamatan negara.

Langkah yang sudah lama ditunggu itu mengikut tindakan Amerika Syarikat (AS) dan sekutu utama lain dan berlaku selepas pertikaian diplomatik antara Ottawa dan Beijing berhubung penahanan seorang eksekutif kanan Huawei atas waran AS, yang kini telah diselesaikan.

AS telah memberi amaran tentang implikasi keselamatan apabila memberikan syarikat teknologi China itu, akses kepada infrastruktur telekomunikasi utama yang boleh digunakan untuk pengintipan, manakala Huawei dan Beijing telah menolak dakwaan itu.

Menteri Industri Kanada, Francois-Philippe Champagne dan Menteri Keselamatan Awam, Marco Mendicino membuat pengumuman itu pada sidang media.


(Bandaraya Ottawa di negara Kanada/Foto fail)

"Hari ini, kami mengumumkan hasrat kami untuk melarang kemasukan produk dan perkhidmatan Huawei dan ZTE dalam sistem telekomunikasi Kanada," kata Champagne.

"Syarikat telekomunikasi di Kanada tidak akan dibenarkan memasukkan produk atau perkhidmatan rangkaian mereka yang membahayakan keselamatan negara kita," katanya.

"Pembekal yang telah memasang peralatan ini akan dikehendaki menghentikan penggunaannya dan mengeluarkannya."

Kanada telah mengkaji semula perkara itu selama beberapa tahun dan berulang kali menangguhkan keputusan yang pertama kali dijangka pada tahun 2019. -AFP

Media Baharu