fb fb fb fb fb

"Kami tidak tahu mengapa Israel ambil mayat pesakit" - Doktor Hospital Al-Shifa

Dr Ahmed El Mokhallalati/Reuters

GAZA, 18 November- Tindakan tentera Israel mengambil semua jenazah pesakit yang berada di kawasan Hospital Al-Shifa termasuk di bilik mayat utama menjadi tanda tanya.

Dr Ahmed El Mokhallalati yang menjadi tawanan zionis dalam bangunan kemudahan awam itu berkata, tentera penjajah berbuat demikian pada hari pertama mereka menceroboh hospital itu pada Rabu lalu.

"Apa yang mereka lakukan ialah mengambil mayat dari seluruh kawasan Hospital Al Shifa.

"Mereka ambil juga dari bilik mayat utama.

"Kami tidak tahu mengapa mereka melakukan perkara ini. (Tetapi) itulah yang mereka lakukan pada hari pertama mereka tiba di hospital,” jelasnya menerusi panggilan telefon.

Mokhallalati berkata, kawasan hospital kini dipenuhi kereta kebal musuh dan tentera Israel menembak sepanjang masa.

"Penjajah menembak sesiapa sahaja yang cuba bergerak atau melihat sesuatu dari tingkap atau bergerak di sekitar bangunan hospital, walhal tiada sesiapa pun yang melepaskan tembakan ke arah mereka.

"Mereka juga mengebom kawasan tertentu di hospital," ujarnya.

Hospital Al Shifa berada di bawah 'sekatan penuh' sejak sembilan hari lalu dengan terputus bekalan air dan makanan.

SITI AISHAH BINTI MD ISA