WASHINGTON, 14 Oktober- Calon Presiden Amerika Syarikat (AS) mewakili Demokrat, Kamala Harris berada dalam keadaan 'kesihatan yang sangat baik' dan sesuai untuk jawatan presiden, menurut laporan perubatan yang diterbitkan oleh White House.
Sebelum ini, Kamala Harris dilaporkan mencabar pesaingnya Donald Trump daripada Republikan, menerbitkan rekod kesihatannya sendiri.
"Naib Presiden, Kamala Harris kekal dalam kesihatan yang sangat baik," kata doktornya, Joshua Simmons dalam laporan itu sambil menambah Kamala Harris juga 'mempunyai ketahanan fizikal dan mental yang diperlukan untuk berjaya melaksanakan tugas jawatan sebagai presiden'.
Bercakap kepada pemberita pada Sabtu sebelum lawatan ke Carolina Utara, Kamala Harris menggelar keengganan Trump untuk menerbitkan rekodnya sebagai 'contoh lanjut mengenai kekurangan ketelusannya'.
"Sudah jelas bahawa pasukannya sekurang-kurangnya tidak mahu rakyat Amerika Syarikat (AS) melihat segala-galanya mengenai siapa dia... dan sama ada dia benar-benar layak atau tidak untuk menjalankan tugas sebagai presiden AS," katanya.
Ketika Kamala Harris meningkatkan tekanan untuk mendapatkan butiran mengenai kesihatan fizikal dan ketajaman mental Trump yang berusia 78 tahun, kenyataannya itu ditolak oleh pasukan Trump.
Calon Republikan itu juga 'berada dalam kesihatan yang sempurna dan cemerlang untuk menjadi Ketua Komander," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau mendakwa Kamala Harris tidak mempunyai kekuatan untuk memimpin negara.
Trump menjadi calon presiden tertua daripada parti politik utama dalam sejarah AS selepas Presiden Joe Biden berusia 81 tahun menarik diri daripada pilihan raya presiden AS pada Julai lalu. Kamala Harris berusia 59 tahun.
Biden menyerahkan 'obor' kepada Kamala Harris selepas perdebatan buruknya dengan Trump menimbulkan kebimbangan dalam Parti Demokrat mengenai ketajaman mentalnya sendiri.- AFP