fb fb fb fb fb

Kadar kelahiran Korea Selatan naik buat pertama kali dalam sedekad

FOTO HIASAN

SEOUL, 26 Februari- Kadar kelahiran di Korea Selatan meningkat tahun lalu buat pertama kali dalam sedekad, menurut data rasmi pada Rabu, sekali gus memecahkan trend penurunan di negara yang bergelut dengan krisis demografi.

Korea Selatan mencatatkan salah satu jangka hayat terpanjang di dunia serta kadar kelahiran terendah, gabungan yang mencetuskan cabaran populasi yang semakin meruncing.

Seoul telah membelanjakan berbilion dolar bagi menggalakkan wanita melahirkan lebih ramai anak demi mengekalkan kestabilan penduduk.

Kadar kelahiran kasar jumlah bayi yang dilahirkan bagi setiap 1,000 orang adalah 4.7, menghentikan trend penurunan berterusan sejak 2014, menurut data awal Statistik Korea.

Kadar kesuburan atau purata bilangan anak yang dijangka dilahirkan oleh seorang wanita sepanjang hayatnya, meningkat kepada 0.75 naik 0.03 daripada 0.72 pada 2023.

“Jumlah kelahiran pada 2024 ialah 238,300, meningkat sebanyak 8,300 (3.6 peratus) berbanding tahun sebelumnya,” menurut laporan itu.

Pegawai Statistik Korea, Park Hyun-jeong, mengaitkan kenaikan itu dengan peningkatan jumlah perkahwinan selepas pandemik COVID-19 serta perubahan demografi.

"Populasi menyaksikan pertambahan ketara dalam bilangan individu berusia awal 30-an," kata Park dalam sidang media.

Purata umur ibu ketika melahirkan anak pada 2024 ialah 33.7 tahun antara yang tertinggi di dunia.

Namun, kadar kesuburan itu masih jauh di bawah tahap 2.1 anak yang diperlukan untuk mengekalkan populasi Korea Selatan seramai 51 juta.

Mengikut kadar semasa, populasi negara itu dijangka merosot hampir separuh kepada 26.8 juta menjelang tahun 2100, menurut Institut Metrik dan Penilaian Kesihatan Universiti Washington di Seattle.

Pakar berpendapat, pelbagai faktor menyumbang kepada kadar kelahiran yang rendah, termasuk kos membesarkan anak yang tinggi, harga hartanah yang melambung, serta persaingan sengit untuk mendapatkan pekerjaan bergaji lumayan.

Beban berganda yang dihadapi ibu bekerja, menguruskan rumah tangga dan menjaga anak sambil mengekalkan kerjaya turut menjadi punca utama.

Kerajaan Korea Selatan menawarkan subsidi tunai, perkhidmatan penjagaan bayi dan sokongan rawatan kesuburan, namun kadar kesuburan negara itu terus mencatatkan penurunan kronik sehingga kini.

Negara jiran, Jepun, turut berdepan masalah sama, memiliki populasi kedua tertua di dunia selepas Monaco dengan dasar imigresen yang ketat menyebabkan kekurangan tenaga buruh semakin membimbangkan.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE