BANGKOK, 26 Februari- 18 orang maut selepas sebuah bas terbabas di Thailand pada Rabu, dipercayai akibat kegagalan brek ketika menuruni bukit, menurut polis.
Bas dua tingkat itu adalah salah satu daripada tiga bas yang membawa pegawai kerajaan tempatan dalam lawatan kerja apabila ia hilang kawalan dan keluar dari jalan di wilayah Prachin Buri, timur Bangkok.
“Seramai 17 mangsa ditemukan mati di lokasi kejadian, manakala seorang lagi meninggal dunia di hospital,” kata Leftenan Kolonel Polis Siwapass Phuripatchaiboonchu.
Menurut beliau, pemandu bas mendakwa brek gagal berfungsi semasa bas menuruni bukit.
Bas berkenaan membawa 49 penumpang dan semua mangsa yang terselamat telah dibawa ke dua hospital berdekatan untuk rawatan.
Thailand mempunyai rekod keselamatan jalan raya antara terburuk di dunia, dengan kira-kira 20,000 kematian setiap tahun, menurut Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO).
Kenderaan tidak selamat dan pemanduan cuai dikenal pasti sebagai punca utama kadar kemalangan jalan raya yang tinggi di negara itu.
Pada Oktober lalu, sebuah bas sekolah terbabas dan terbakar di pinggir Bangkok, mengorbankan 23 orang, kebanyakannya kanak-kanak dalam kemalangan jalan raya paling buruk di Thailand sejak sedekad lalu.-AFP