SEOUL, 5 Januari- Korea Utara melepaskan tembakan artileri berhampiran dua pulau di sempadan Korea Selatan pada Jumaat, sekali gus mencetuskan serangan balas.
Rentetan tindakan provokatif Korea Utara itu, kementerian pertahanan Seoul mengerahkan kesemua penduduk di kedua-dua pulau berpindah dan menggantung perkhidmatan feri.
Krisis yang berlaku merupakan salah satu peningkatan ketenteraan paling serius di semenanjung sejak Pyongyang melepaskan peluru di salah satu pulau yang sama pada tahun 2010.
Rejim pimpinan Kim Jong Un itu menegaskan bahawa Pyongyang bersedia untuk berperang menentang Korea Selatan dan Amerika Syarikat.
"Korea Utara melepaskan lebih 200 das tembakan peluru artileri pada pagi Jumaat berhampiran Yeonpyeong dan Baengnyeong, dua pulau Korea Selatan yang kurang penduduknya yang terletak di selatan sempadan maritim antara kedua-dua pihak.
Kelongsong peluru mendarat di sepanjang sempadan atau dikenali sebagai zon penampan, dicipta menerusi perjanjian dalam mengurangkan ketegangan pada tahun 2018, yang gagal pada November selepas pelancaran satelit pengintip Kim.
"Korea Utara menyambung semula serangan artileri dalam zon penampan adalah satu tindakan provokatif yang mengancam keamanan di Semenanjung Korea dan meningkatkan ketegangan," kata menteri pertahanan Seoul, Shin Won-sik.
"Sebagai tindak balas kepada tindakan Pyongyang, tentera Seoul akan mengambil tindak balas segera, kuat dan muktamad. Kita mesti menyokong keamanan dengan kekuatan yang luar biasa," tambahnya.
Pegawai tempatan di kedua-dua pulau memberitahu AFP bahawa penduduk telah diberitahu untuk berpindah, menyifatkan perintah itu sebagai "langkah pencegahan" menjelang latihan ketenteraan Korea Selatan.
Pada 2010, sebagai tindak balas kepada latihan tembakan langsung Korea Selatan berhampiran sempadan laut, Utara mengebom pulau Yeonpyeong membunuh empat warga Korea Selatan dua askar dan dua orang awam.
Itu adalah serangan pertama ke atas kawasan awam sejak Perang Korea 1950-53.
Hubungan antara Korea Utara dan Korea Selatan kini berada pada satu titik terendah dalam beberapa dekad, selepas Kim memaktubkan status negara itu sebagai kuasa nuklear ke dalam perlembagaan sambil menguji beberapa ICBM termaju.
Kim memberi amaran tentang serangan nuklear ke atas Korea Selatan dan menyeru tenteranya membangunkan senjata menjelang konflik bersenjata yang boleh meletus bila-bila masa sahaja.- AFP