fb fb fb fb fb

K. Selatan panggil Duta Besar Rusia, bantah perjanjian pertahanan

Duta Besar Rusia ke Korea Selatan, Georgy Zinoviev tiba ke bangunan Kementerian Luar Korea Selatan/AFP

SEOUL, 21 Jun- Korea Selatan telah memanggil duta Rusia ke Seoul pada Jumaat untuk membantah perjanjian pertahanan yang ditandatangani oleh Presiden Vladimir Putin dan Kim Jong Un dari Korea Utara semasa lawatan ke Pyongyang, minggu ini.

"Seoul mendesak Rusia untuk segera menghentikan kerjasama ketenteraan dengan Korea Utara dan mematuhi resolusi Majlis Keselamatan (PBB)," kata kementerian luar dalam satu kenyataan.

Duta Besar Rusia, Georgy Zinoviev dipanggil oleh kerajaan Seoul dua hari selepas Putin dan Kim menandatangani perjanjian "perkongsian strategik komprehensif", yang termasuk ikrar untuk membantu satu sama lain jika diserang.

Putin juga berkata bahawa Moscow tidak menolak kerjasama ketenteraan dan teknikal dengan Utara, malah terbabit dalam menghantar senjata sekali gus tindakan tersebut melanggar sekatan PBB terhadap Pyongyang.

Seoul menggesa Rusia untuk menunaikan tanggungjawabnya sebagai anggota tetap Majlis Keselamatan, kata kementerian luar.

"Melanggar resolusi Majlis Keselamatan dan menyokong Korea Utara, akan memudaratkan keselamatan kita dan sudah pasti akan memberi kesan negatif kepada hubungan Korea-Rusia," kata Naib Menteri pertama, Kim Hong-kyun dalam kenyataannya.

Korea Utara telah berada di bawah sekatan PBB sejak 2006 kerana program nuklearnya yang diharamkan.

Langkah-langkah itu pada mulanya disokong oleh Rusia tetapi Putin berkata di Pyongyang bahawa sekatan itu kini perlu dikaji semula.

Moscow dan Pyongyang bersekutu sejak Korea Utara ditubuhkan selepas Perang Dunia II dan semakin rapat sejak pencerobohan Rusia ke atas Ukraine pada 2022, mengasingkan Putin di pentas global.

Seoul, yang merupakan pengeksport senjata utama berkata minggu ini bahawa ia akan "mempertimbangkan semula" dasar lama yang menghalangnya daripada membekalkan senjata terus ke Ukraine, berikutan perjanjian pertahanan bersama Korea Utara dengan Rusia.

Putin memberi amaran kepada Korea Selatan pada Khamis bahawa ia akan menjadi "kesilapan besar".- AFP

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM